Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka : Dua sekolah tutup, dua kes baharu hari ini

932
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

HANG TUAH JAYA, 15 Okt : Dua buah sekolah di Lubok China ditutup sementara dua kes baharu Covid-19 direkodkan di Daerah Melaka Tengah hari ini seperti dilaporkan oleh laman Facebook Jabatan Kesihatan Melaka sebentar tadi.

Menurut laporan itu dua buah sekolah tersebut ialah SMK Lubok Cina dan SK Teluk Berembang, kedua-duanya terletak di Lubok China, Daerah Alor Gajah diarahkan tutup oleh Jabatan Pendidikan Negeri Melaka bermula15 Oktober sehingga 21 Oktober depan apabila terdapat kes positif daripada satu kluster di Rembau yang bersekolah di sekolah tersebut.

Tambah laporan itu lagi, dua kes baharu Covid-19 direkodkan di Daerah Melaka Tengah iaitu satu di Mukim Tanjung Minyak yang dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan kes saringan SARI (Severe Acute Respiratory Infection) manakala kes kedua dikesan di Mukim Ayer Molek dari kategori kes jangkitan tempatan saringan kontak rapat kepada kes positif anggota kesihatan.

Laporan itu juga menyebut setakat hari ini 11 kes aktif Covid-19 ini masih dirawat di Hospital Besar Melaka.

Sebanyak 589 kes direkodkan di seluruh negara hari ini dan Sabah masih menjadi negeri tertinggi merekodkan kes baharu sebanyak 304 kes.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)