Home Berita PAS Melaka

Kolumnis : Kenali kanak-kanak OKU – Siapakah kanak-kanak OKU? Bahagian 1

629
SHARE

Oleh : Aziah Md Saad

DALAM Akta Kanak-kanak 2001 seksyen 13 menyatakan kanak-kanak adalah mereka yang berusia kosong bulan sehingga bawah 18 tahun. Kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun adalah kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah meluluskan dalam Konvensyen Hak-hak Orang Kurang Upaya (OKU) pada 13 Disember 2006 dan Malaysia telah menandatanganinya pada 8 April 2008.

Konvesyen Hak-hak Orang Kurang Upaya telah meluluskan hak asasi manusia memastikan bahawa OKU diberikan hak yang sama dalam masyarakat dan pada masa yang sama OKU diberi perlindungan daripada bahaya, keganasan dan penderaan.

Seseorang kanak-kanak boleh dikenali sebagai OKU selepas mendapat kelulusan doktor selepas pemeriksaan dibuat secara berkala serta berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri.

Kegagalan untuk mendaftarkan kanak-kanak OKU menyebabkan berlakunya pengabaian pada kanak-kanak yang menyalahi hak asasi OKU kerana tidak diberi perlindungan yang sewajarnya.

Mengapa intervensi awal untuk kanak-kanak OKU sangat penting?

Pengalaman saya sebagai ibu yang mempunyai kanak-kanak OKU merasakan bahawa saya lambat juga mengesan anak OKU saya semasa dalam kandungan. Saya hanya mengetahui anak saya OKU semasa dalam bilik bersalin. Doktor yang menyambut anak saya mengatakan pada saya, daripada fizikal sahaja. Ini bermakna saya mesti mendapatkan rawatan kesihatannya pada hari yang seterusnya.

Rawatan seterusnya itu dipanggil intervensi awal untuk mengesan kecacatan yang dialami oleh kanak-kanak itu. Anak saya telah mendapat intervensi awal apabila anak saya mengalami kepayahan untuk bernafas dan dikejarkan ke hospital.

Di hospital kanak-kanak akan diambil maklumat daripada ibu bapa atau penjaga dan terus dijalankan pemeriksaan yang rapi mengikut prosedur tertentu.

Memang proses intervensi awal memakan masa yang panjang, memerlukan kesabaran dan sokongan dalam keluarga. Doktor akan berjumpa dengan ibu bapa atau penjaga untuk menerangkan satu persatu kecacatan anak kita dan rawatan susulan untuk rawatan mata, telinga, gigi dan fizikal pada tarikh yang berbeza agar memberi ruang yang pada luas ibu bapa dan penjaga bertanya dan menyelesaikan sebahagian besar masalah anak mereka.

Doktor akan memberi cadangan latihan dan penjagaan mengikut kecacatan kanak-kanak tersebut.

Tugas ibu bapa dan penjaga adalah ikuti nasihat doktor dan mulai meneroka pusat-pusat latihan, kursus keibubapaan Kanak-kanak OKU dan dapatkan sebanyak mungkin maklumat dari internet, kawan-kawan, ibu bapa yang ada anak OKU atau guru-guru di sekolah pendidikan khas.

Penulis adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka dan ahli Grup Penulis PAS Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)