Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Cuci duit – Sisi gelap dunia perniagaan.

1069
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

PENOLONG Setiausaha Agung PAS Pusat, Syahir Sulaiman dalam Harakah keluaran lepas ada menulis satu rencana bertajuk ‘Menjejak ekonomi gelap’. Ia membincangkan tentang aktiviti ekonomi haram meliputi aktiviti perniagaan terlarang dan hasil-hasil daripada aktiviti haram.

Menurut Syahir dalam tulisannya itu, untuk tahun 2019 saiz ‘ekonomi gelap’ ini merangkumi 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu RM300 billion setahun seperti dilaporkan bekas Menteri Kewangan.

Di dalam dunia perniagaan wujud sejenis perniagaan yang dibuka bukan untuk tujuan perniagaan yang tulen tetapi hanya untuk ‘cuci duit’ (money loundry).

Apa itu cuci duit?

Apa dia aktiviti ‘cuci duit’ ini? ‘Cuci duit’ ini berlaku apabila seseorang yang memperolehi wang dari aktiviti haram atau menjalankan perniagaan yang menyalahi undang-undang cuba untuk menjadikan duitnya itu sah di sisi undang-undang. Ia juga disebut sebagai ‘penggubahan wang haram’.

Seseorang yang memperolehi wang secara haram seperti merompak, rasuah, peras ugut, penipuan atau menjalankan perniagaan yang dilarang oleh undang-undang seperti menjual dadah, pelacuran, ceti haram, judi tanpa lesen dan sebagainya, mereka tidak boleh terus menyimpan wang mereka di dalam bank begitu sahaja.

Jika anda tiba-tiba memasukkan wang dalam jumlah tertentu, contohnya sebanyak RM100 ribu, ke dalam bank, maka pihak bank boleh melaporkan akaun anda ke Bank Negara untuk disiasat dari mana asal datangnya wang itu. Sekiranya anda tidak boleh menjelaskan dari mana punca wang itu maka anda boleh didakwa ‘menggubah wang haram’. Ini tertakluk kepada Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Aktiviti Keganasan 2001 (AML-CFT).

Daftar perniagaan halal untuk cuci duit

Biasanya mereka yang terlibat dalam aktiviti memperolehi wang secara haram atau menjalankan perniagaan yang dilarang undang-undang ini akan membuka satu perniagaan yang didaftarkan secara sah untuk mencuci duit mereka ini.

Perniagaan yang mereka daftarkan ini adalah perniagaan yang dibenarkan oleh undang-undang. Perniagaan ini akan menjadi topeng untuk menutup perniagaan atau aktiviti haram yang sebenarnya mereka jalankan.

Mereka juga akan membuka akaun bank atas nama perniagaan yang sah itu tadi. Selepas itu mereka akan memasukkan wang-wang yang mereka dapat dari aktiviti haram mereka ke dalam akaun bank perniagaan yang sah tadi. Wang itu akan diisytiharkan kononnya sebagai hasil jualan atau pendapatan daripada perniagaan yang sah tadi.

Selepas wang itu sudah dianggap sebagai wang daripada pendapatan dari perniagaan yang sah tadi maka duit-duit daripada aktiviti haram itu tadi sudah pun ‘dicuci’ dan kini telah menjadi duit yang sah dari segi undang-undang.

Ciri-ciri perniagaan cuci duit

Kadang-kala kita lihat sesebuah kedai itu tidak ramai pelanggan yang masuk dan lokasinya juga tersorok dan tidak strategik. Tapi perniagaan itu bertahan bertahun-tahun, malah ada yang mencecah puluhan tahun dan pemiliknya hidup kaya raya. Itu adalah antara tanda-tanda bahawa perniagaan itu terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram atau cuci duit.

Kompleks membeli-belah adalah antara lokasi perniagaan yang menjadi kesukaan ‘peniaga cuci duit’ ini. Ini adalah kerana wujudnya persepsi bahawa berniaga di kompleks membeli-belah biasanya boleh menjana jualan yang besar berbanding dengan membuka kedai di premis kedai pejabat.

Bayangkan seorang peniaga A membuka sebuah kedai di deretan kedai pejabat di suatu kawasan perniagaan yang disewa dengan kadar RM2000 sebulan. Kemudian peniaga B pula membayar RM10000 sebulan untuk menyewa satu lot kedai di kompleks membeli-belah dengan keluasan yang sama.

Apa yang membuatkan peniaga B berani menyewa dengan kadar RM10 ribu sebulan dengan saiz kedai yang sama di kompleks membeli belah? Ini adalah kerana wujudnya persepsi bahawa berniaga di kompleks membeli-belah akan memberi hasil jualan yang lebih tinggi kerana dikatakan ramai pengunjung.

Jadi, jika peniaga A yang berniaga di kedai pejabat biasa dengan sewa RM2000 sebulan boleh mendapat hasil jualan RM200 ribu sebulan maka peniaga B yang menyewa di kompleks membeli-belah adalah rasional untuk mendakwa mendapat jualan sebanyak RM1 juta sebulan.

Apabila mereka membuka kedai di kompleks membeli-belah dengan membayar sewa yang mahal maka mereka boleh mendakwa bahawa mereka telah mendapat jualan yang tinggi. Dengan itu jumlah wang haram yang boleh mereka masukkan ke dalam akaun perniagaan berdaftar mereka itu juga lebih tinggi.

Bila perniagaan haram menjadi lebih besar

Selain itu, apabila aktiviti haram mereka menjadi semakin besar dan hasil yang mereka perolehi juga menjadi sangat besar maka perniagaan yang mereka jadikan sebagai topeng juga haruslah besar. Ini adalah kerana jumlah wang yang mereka ingin masukkan ke dalam akaun itu juga mestilah berpatutan dengan saiz perniagaan sah yang mereka lakukan.

Contohnya seorang ‘pusher’ yang menjual dadah di sesuatu kawasan dan memperolehi pendapatan sekitar RM200 ribu sebulan mungkin membuka sebuah kedai bunga atau kedai menjual telefon bimbit sebagai perniagaan ‘cuci duit’ mereka. Mereka akan memasukkan wang jualan dadah mereka ke dalam akaun bank perniagaan berdaftar mereka itu.

Tapi sekiranya perniagaan haram mereka sudah menjana jualan sehingga jutaan atau puluhan juta ringgit maka sebuah kedai menjual telefon bimbit tidak lagi sesuai untuk menjadi topeng tempat mereka mencuci duit. Sebagai contoh, tidak logik sebuah kedai menjual telefon bimbit di sebuah pekan mampu menghasilkan jualan sehingga RM10 juta sebulan.

Pada situasi ini mereka mungkin perlu membuka berpuluh cawangan kedai menjual telefon bimbit untuk merasionalkan wang puluhan juta ringgit daripada hasil haram untuk mereka masukkan dalam akaun perniagaan halal mereka itu.

Sebab itu jangan terkejut kadangkala sesuatu rangkaian pasaraya, rangkaian hotel, rangkaian kedai pakaian terkenal mungkin dimiliki seseorang penjenayah yang menjalankan aktiviti ‘cuci duit’.

Satu perkara yang menarik tentang perniagaan cuci duit ini ialah, walau pun mereka tidak mengharapkan apa-apa dari perniagaan halal yang mereka daftar namun terdapat juga keadaan di mana perniagaan halal yang mereka jalankan sebagai topeng itu juga menjana keuntungan yang besar. Ini dipanggil bonus berganda. Penjenayah yang murah rezekinya!

Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka

(Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak pada 21 Ogos 2020)

 


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)