Home Berita PAS Melaka

Melaka Indah : Pantai Klebang curi tumpuan pengunjung luar Melaka waktu malam

3746
SHARE

Oleh : Siti Hajar

SIAPA sangka di sebalik terangnya cahaya lampu yang menghiasi Pantai Klebang, ada kemeriahan tersembunyi di situ. Bagi penduduk tempatan, mereka sedia maklum bahawa Pantai Klebang biasa dikunjungi sehingga lewat malam.

Meskipun bagi pengunjung yang hadir dari luar Melaka, mereka tidak menyangka kawasan sekitar Dataran 1Malaysia Pantai Klebang rupanya ‘hidup’ walaupun matahari senja sudah melabuhkan tirai!

Menurut Fadilah, 31, beliau sebenarnya tertarik melihat kemeriahan suasana pantai yang terang-benderang dengan cahaya lampu apabila sedang melalui jalan Pantai Klebang hujung minggu lepas.

“Sebagai seorang ibu pasti susah hendak bawa anak kecil berjalan-jalan dan kalau boleh tandas, tempat makan, tempat rehat semua ada dalam satu kawasan.

“Saya sangat berpuas hati dengan kemudahan yang ada di sekitar pantai ini”, ulas beliau yang datang dari Johor untuk menghabiskan masa bercuti bersama keluarga di Melaka.

Keunikan Pantai Klebang bukan hanya terletak pada nuansa air laut yang menderu, kehalusan derapan pasir dan tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa, malah, pengunjung juga dapat merangsang selera dengan menikmati pelbagai juadah yang dijual oleh peniaga ‘foodtruck’ di sini.

Penulis sempat menemuramah seorang peniaga ‘foodtruck‘ D Nanz Aiskrim yang mahu dikenali sebagai Wawa. Beliau memberitahu cuti sekolah merupakan waktu kemuncak pengunjung hadir memeriahkan kawasan pantai.

Jadi ibubapa yang mahu membawa keluarga ke sini bolehlah merancang jadual anda. Bahkan anda tidak perlu risau jika ingin mengelak waktu kemuncak tersebut kerana jualan dibuka setiap hari bermula 12 tengah hari hingga 12 malam.

Akhir kalam, penulis ingin berpesan kepada pembaca supaya tidak lupa untuk berzikir mengingati Allah di mana sahaja kita berada terutama ketika melihat keindahan dan kebesaran Allah seperti penciptaan laut dan kejadian siang malam. Berhibur biar bersyariat. Gunakan nikmat ciptaan Allah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Penulis adalah Wartawan Rakyat Melaka (WARM)


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)