Oleh : Abu Harith
POTENSI diri boleh ditakrifkan sebagai satu kemampuan, kekuatan, baik yang belum wujud mahupun yang telah wujud, yang dimiliki seseorang, tetapi belum sepenuhnya terlihat atau dipergunakan secara maksima oleh seseorang.
Manusia adalah makhluk yang unik. Kita dilahirkan dengan pakej kekuatan dan kelemahan. Dua pakej ini saling mengimbangi sebenarnya. Inilah satu tanda bahawa kita adalah sebaik-sebaik kejadian.
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).”
-Surah At-Tin, Ayat 4
Kekuatan yang ada pada kita adalah pelengkap kepada kelemahan orang lain. Dan begitulah sebaliknya. Ia bukan suatu perkara untuk dibangga-banggakan atau jauh sekali dengannya kita mudah untuk memperlekehkan orang lain.
“We are here not to COMPETE but to COMPLETE”.
Indahnya hidup kerana kita ini saling melengkapi sebenarnya. Di sebalik kekuatan dan kelemahan ini terbuka peluang untuk kita saling berbakti dan menyemai kebaikan sesama kita. Peluang meningkatkan amal kebaikan.
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَٰئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ
“Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.”
-Surah Al-Bayyinah, Ayat 7
CARA MENGENALPASTI POTENSI DIRI
1- Mengambil ujian personaliti
Ujian ini perlu dikendalikan oleh mereka yang mahir dan berkelayakan untuk mentadbir. Kesahan dan kebolehpercayaan sesuatu alat ujian perlu diambil kira bagi memberikan jawapan yang tepat. Terdapat banyak ujian personaliti yang boleh dicuba.
2- Mendapat respons daripada orang terdekat
Orang di sekeliling kita adalah antara orang yang boleh mengenalpasti potensi kita. Dapatkan pandangan dan komen. Berlapang dada apabila menerima teguran. Semak balik semua respons yang diberikan. Jika ianya positif kekalkan. Jika ianya negatif dan betul, ambillah langkah untuk berubah.
3. Berjumpa Kaunselor
Kaunselor dilatih untuk membantu klien menggali potensi diri. Melalui proses sesi kaunseling, potensi klien boleh dikenalpasti. Ingat! Sesi kaunseling bukan untuk orang yang bermasalah sahaja. Buang persepsi tersebut.
4. Kenal pasti minat
Cuba kenal pasti apa minat kita. Pada masa-masa tertentu pasti ada sesuatu perkara yang kita suka lakukan. Boleh jadi perkara tersebut adalah satu sumber kecenderungan kita. Ada orang bekerja sebagai kerani, tapi pada masa lapang, memasak adalah perkara yang paling diminatinya. Kepuasan pada dirinya apabila dapat memasak. Jika diarahkan dengan betul mungkin ia boleh menjadi satu peluang besar.
5. Mencuba sesuatu yang baharu
Keluar daripada jadual rutin. Beranikan diri mencuba sesuatu yang baharu. Ingat! Perkara rutin boleh mematikan kreativiti. Siapa tahu, dengan mencuba sesuatu yang baharu kita dapat keluarkan potensi diri kita dengan lebih mudah. “Jangan takut untuk kelihatan berbeza daripada orang lain”.
Selamat mencuba.
Tingkatkan Potensi, Kurangkan Kontrovesi, Hebatkan Prestasi.
Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar