Home Berita PAS Melaka

Gelombang ke-3 Covid-19 : Ustaz Imran kerah jentera kawasan siap sedia bantu rakyat.

673
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 3 Okt : Bimbang dengan kemungkinan gelombang ke-3 Covid-19, Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman telah mengeluarkan arahan agar semua jentera PAS kawasan bersiap sedia membantu rakyat sekiranya ia benar-benar berlaku.

“Semalam negara kita mencatatkan sebanyak 287 kes baharu. Ini adalah antara kes tertinggi pernah dicatatkan di negara kita semenjak berlakunya Covid-19.

“Kita telah melihat sebelum ini banyak kesusahan yang dihadapi oleh rakyat apabila PKP yang lebih ketat dilaksanakan. Namun ia terpaksa dilakukan untuk membendung wabak ini.

“Kita tidak pasti adakah kerajaan akan menguatkuasakan PKP yang lebih ketat selepas ini. Kita tunggu pengumuman Perdana Menteri. Tapi kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan.” ujar beliau.

Menurut Ustaz Imran, belajar daripada pengalaman yang lepas, maka jentera PAS Kawasan Masjid Tanah harus bersiap sedia untuk membantu rakyat sekiranya ia berlaku.

“Kita mahu semua jentera peringkat MTD dan cawangan ambil cakna tentang rakyat di sekeliling. Terutama mereka yang mempunyai jawatan dalam JPKK.

“Hakikatnya kesan dari gelombang pertama dan kedua pun masih terasa hingga sekarang. Rakyat yang hilang pekerjaan, yang hilang peluang perniagaan, yang perniagaan ditutup kerana rugi, semua itu perlu dibantu.” Ujar beliau.

Ustaz Imran berkata demikian ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) sebentar tadi.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)