Home Berita PAS Melaka

Tazkirah pagi Jumaat : Dialog antara Allah dengan Iblis

2442
SHARE

 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيم

Sad 38:71

إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّى خَٰلِقٌۢ بَشَرًا مِّن طِينٍ

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia – Adam dari tanah” ;

Sad 38:72

فَإِذَا سَوَّيْتُهُۥ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِى فَقَعُوا۟ لَهُۥ سَٰجِدِينَ

“Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya “.

Sad 38:73

فَسَجَدَ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ كُلُّهُمْ أَجْمَعُونَ

(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, –

Sad 38:74

إِلَّآ إِبْلِيسَ ٱسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلْكَٰفِرِينَ

Melainkan Iblis; ia berlaku sombong takabbur (mengingkarinya) serta menjadilah ia dari golongan yang kafir.

Sad 38:75

قَالَ يَٰٓإِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَن تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَىَّۖ أَسْتَكْبَرْتَ أَمْ كُنتَ مِنَ ٱلْعَالِينَ

Allah berfirman: “Hai lblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takabbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? “

Sad 38:76

قَالَ أَنَا۠ خَيْرٌ مِّنْهُۖ خَلَقْتَنِى مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُۥ مِن طِينٍ

Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah “.

Sad 38:77

قَالَ فَٱخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ

Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir”.

Sad 38:78

وَإِنَّ عَلَيْكَ لَعْنَتِىٓ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلدِّينِ

“Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatKu terus menerus hingga ke hari kiamat!”

Sad 38:79

قَالَ رَبِّ فَأَنظِرْنِىٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”.

Sad 38:80

قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ ٱلْمُنظَرِينَ

Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.”

Sad 38:81

إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْوَقْتِ ٱلْمَعْلُومِ

“Hingga ke hari masa yang termaklum”.

Sad 38:82

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Iblis berkata: “Demi kekuasaanMu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya”.

Sad 38:83

إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِينَ

“Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan dan mereka yang ikhlas”.

Sad 38:84

قَالَ فَٱلْحَقُّ وَٱلْحَقَّ أَقُولُ

Allah berfirman: “Maka Akulah Tuhan yang sebenar-benarnya, dan hanya perkara yang benar Aku firmankan.”

Sad 38:85

لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكَ وَمِمَّن تَبِعَكَ مِنْهُمْ أَجْمَعِينَ

“Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya “.

“Allah Ta’ala berfirman (di dalam Hadis Qudsi): Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi.”

Sabda Nabi Muhammad SAW:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Maksudnya: Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.

Sahih Muslim (51)

Nabi Muhammad SAW bersabda yang ertinya; “Sombong adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.” (H. R. Muslim)

Para pembaca yang dirahmati Allah, jauhilah sifat sombong dan takabbur ini kerana sombong dan takabbur ini menyebabkan Iblis dijadikan daripada golongan yang kafir, kerana sifat sombong dan takabbur ini Iblis diusir dari syurga dan kerana sifat sombong dan takabbur ini Iblis dilaknat oleh Allah sehingga hari kiamat dan kerana sifat sombong dan takabbur ini jugalah Allah akan mencampakkan seseorang itu ke dalam neraka dan Allah tidak akan pedulikan dia lagi.

Jika engkau merasakan diri engkau lebih mulia daripada orang lain, jika engkau merasakan diri engkau lebih hebat daripada orang lain atas apa sebab sekalipun maka berhati-hatilah. Janganlah engkau terpedaya dengan ilmu, harta, pangkat, jawatan, gelaran, pencapaian dan apa-apa yang engkau perolehi atau apa-apa yang engkau lakukan yang menyebabkan engkau lupa bahawasanya engkau tidak akan mampu mengangkat walau satu jari mu jika tidak semata-mata dengan izin Allah S.W.T.

Maka dengan jalan apakah engkau akan selamat daripada sifat takabbur dan sombong ini? Engkau hanya akan selamat jika engkau bersifat ikhlas dalam erti kata yang sebenarnya.

Ikhlas yang membawa maksud engkau menyerahkan segalanya untuk Allah S.W.T sepertimana yang engkau bacakan setiap hari lima kali sehari semalam dalam doa iftitah, “Sesungguhnya solat ku, ibadah ku, hidup ku dan mati ku hanyalah untuk Allah Tuhan semesta alam”.

Kerana apabila engkau menyerahkan segalanya kerana Allah maka iblis tiada ruang dan peluang untuk menyusup masuk ke dalam hati mu disebabkan engkau telah menyerahkan segalanya untuk Allah S.W.T seperti yang Iblis nyatakan sendiri di dalam ayat Al Quran di atas bahawasanya Iblis akan menyesatkan semua zuriat nabi Adam a’laihissalam kecuali golongan yang ikhlas.

Maka jagalah diri dan hati mu bersungguh-sungguh supaya tidak menjadi golongan yang terpedaya dan berusahalah sedaya upaya mu untuk menjadi seorang yang ikhlas. Sentiasalah meminta kepada Allah agar diri dan hati mu diberikan keikhlasan yang sebenarnya.

Ingatlah wahai diri ku, sesungguhnya engkau tidak tahu berapa banyak masa yang tinggal lagi untuk diri mu. Ketahuilah diri mu sudah berbau tanah dan bau tanah itu semakin lama semakin kuat dari hari ke hari.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua dan dijadikan kita daripada golongan hamba-Nya yang ikhlas.

Apa yang baik itu datangnya daripada Allah, apa yang lemah dan kurang itu saya memohon ampun daripada Allah.

Wallahu a’lam wassalamu’alaikum w.b.t.

“ISLAM MEMPERKUKUH PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam

MOHD. SYAFIQ ISMAIL
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Tangga Batu


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)