Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Luqman: Siri 7

590
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah Luqman: Siri 7

Ayat: 16-17 : Jaminan Balasan daripada Allah SWT serta Perintah Mendirikan Solat dan Amar Makruf Nahi Mungkar

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

يَٰبُنَيَّ إِنَّهَآ إِن تَكُ مِثۡقَالَ حَبَّةٖ مِّنۡ خَرۡدَلٖ فَتَكُن فِي صَخۡرَةٍ أَوۡ فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ أَوۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ يَأۡتِ بِهَا ٱللَّهُۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٞ ١٦

(Luqman berkata): “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, niscaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

يَٰبُنَيَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ ١٧

Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

📖 Tafsir ringkas:

1. Setelah menasihati anaknya agar tidak mensyirikkan Allah dan berlaku ihsan kepada ibu bapa, wasiat Luqman yang seterusnya ialah tentang jaminan balasan daripada Allah SWT walaupun pada sekecil-kecil perkara, serta perintah mendirikan solat dan amar makruf nahi mungkar.

2. Ayat 16 merupakan jaminan dan janji Allah SWT bahawa segala perbuatan manusia di muka bumi ini walaupun perkara yang sangat kecil dan tersembunyi mahupun lintasan hati akan ditulis dan diberi balasan yang setimpal oleh Allah SWT. Hal ini kerana Allah SWT Maha Halus penilaiannya dan pengetahuanNya meliputi segala sesuatu di alam ini.

3. Ayat 17 adalah perintah agar manusia mendirikan solat sebagai ibadah asas yang paling penting dalam syariat Islam. Kemudian diikuti dengan perintah agar mengajak manusia melakukan yang makruf dan menjauhkan perkara mungkar. Kelazimannya hanya orang yang memelihara solat akan memiliki kekuatan melakukan amar makruf nahi mungkar.

4. Perbuatan menyeru manusia ke arah kebaikan dan melarang mereka daripada melakukan kemungkaran pastinya akan menyebabkan pelbagai reaksi masyarakat dan orang sekeliling. Justeru, melalui wasiat seterusnya kita disuruh agar bersabar atas apa sahaja yang dihadapi, kerana sabar itu adalah menuntut mujahadah yang besar.

🎀 Pengajaran:

1. Berusahalah mendekatkan diri kepada Allah SWT dan beramal dengan penuh ketaatan sebaik yang mungkin. Allah sangat suka dengan hambaNya yang bermujahadah untuk mendekatkan diri kepadaNya walaupun dengan apa juga cara dan usaha.

2. Beringatlah sentiasa dan jauhilah daripada melakukan perkara syirik, maksiat dan mazmumah, tanpa mengira kecil atau besar keburukan itu. Ingatlah bahawa Allah SWT Maha Mengetahui dan sentiasa peka atas segala perbuatan manusia.

3. Peliharalah solat fardhu kerana ia sangat penting dalam kehidupan seseorang mukmin. Ibadat solat yang sempurna mampu mendekatkan seseorang dengan Allah SWT dan mencegah daripada melakukan kemungkaran.

4. Manusia hendaklah berhati-hati dengan segala tindak tanduknya kerana setiap perbuatan diketahui dan akan dinilai oleh Allah SWT sama ada perbuatan yang zahir atau tersembunyi daripada pandangan manusia umum.

5. Sabar adalah sifat yang perlu dipupuk dan dilatih, dan ia tidak hadir secara semulajadi. Justeru, berusahalah melatih sabar dengan menahan diri daripada bertindak balas terhadap perkara yang tidak perlu dan sia-sia.

📚 Rujukan:
Tafsir fi Zilalil Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
2 Oktober 2020 / 14 Safar 1441