Home Artikel PAS Melaka

Pena Kaunselor – Seni mempengaruhi kawan dan lawan

236
SHARE

Oleh: Abu Harith

Berikan penghargaan yang jujur dan tulus

MENURUT Abraham Maslow, seorang ahli psikologi pada tahun 1943 melalui bukunya ‘A Theory of Human Motivation’ menyatakan bahawa setiap individu mempunyai lima keperluan yang perlu dipenuhi. Salah satu keperluan tersebut adalah ‘penghargaan kendiri’.

Penghargaan kendiri adalah satu keadaan di mana seseorang itu rasa ingin dihormati dan menghormati individu yang lain. Keperluan hanya akan dipenuhi apabila keperluan sosialnya sudah pun dipenuhi.

Di dalam Al-Quran Allah SWT telah menyatakan banyak nikmat-nikmat yang boleh didapati oleh penghuni syurga sebagai balasan penghargaan kepada segala amal baik yang telah mereka lakukan di dunia.

عَالِيَهُمْ ثِيَابُ سُنْدُسٍ خُضْرٌ وَإِسْتَبْرَقٌ ۖ وَحُلُّوا أَسَاوِرَ مِنْ فِضَّةٍ وَسَقَاهُمْ رَبُّهُمْ شَرَابًا طَهُورًا

Mereka di dalam syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci.

-Surah Al-Insan, Ayat 21

إِنَّ هَٰذَا كَانَ لَكُمْ جَزَاءً وَكَانَ سَعْيُكُمْ مَشْكُورًا

(Serta dikatakan kepada mereka): “Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah)”.

-Surah Al-Insan, Ayat 22

Fitrah manusia sememangnya suka kepada penghargaan. Dengan penghargaan yang tepat, produktiviti dapat ditingkatkan, konflik dapat dijauhi, hubungan semakin akrab dan kehidupan sosial semakin sihat.

Penghargaan tidak semestinya dalam bentuk material yang mahal harganya, sukar untuk dilaksanakan ataupun hanya mereka tertentu sahaja yang boleh meluahkannya.

Cukup dengan sekadar ucapan ‘terima kasih’ sahaja pun sudah mampu membuatkan sesorang itu tersenyum puas, lapang dadanya dan tenang fikirannya.

Namun perkara ini tidak semudah yang kita sangkakan. Ahli bijak pandai ada menyebut, “Sekiranya kamu mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia, kelak pastinya sakit jiwamu kerana majoriti manusia itu tidak pandai untuk berterima kasih.”

Ayuh! Mulalah belajar untuk menghargai setiap apa yang ada di sekeliling kita, terutamanya kepada manusia. Sesungguhnya berterima kasih kepada manusia itu tanda kita bersyukur kepada Tuhan.

Benar, mungkin ada orang yang telah berbuat sesuatu kebaikan itu dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada kita. Tetapi, adalah lebih manis sekiranya kita membalas kebaikan tersebut dengan satu penghargaan sebagai tanda dorongan untuk dia terus membuat kebaikan.

Janganlah dibunuh motivasi orang lain yang suka berbuat kebaikan dengan sikap kita yang sombong untuk menghargai.

Jadikan kehidupan kita ini banyak membantu menyenangkan orang lain, bukannya banyak membantut. Jika tidak boleh memberi manfaat, janganlah disebarkan mudarat.

Walau bagaimanapun harus diingat, penghargaan yang sebenar-benarnya hanyalah daripada Allah jua yang kita harapkan. Jika seluruh manusia tidak menghargai kita, cukuplah Allah sebaik-baik pembalasnya. Itulah hakikat yang sebenarnya untuk kita fahami.

Jom! Sebarkan kasih sayang, ringankan bibir dengan ucapan terima kasih.

Penghargaan yang jujur dan ikhlas pasti membuatkan kawan dan lawan tertewas.

Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)