Home Artikel PAS Melaka

Allahyarham Samsuddin sempat laung azan Isyak sebelum diserang strok.

3384
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 28 Sept : Aktivis istiqamah PAS, Allahyarham Samsuddin Jonet yang meninggal dunia semalam sempat melaungkan azan Isyak sebelum diserang strok ketika sedang solat sunat sebelum Isyak di Surau Al Hidayah, Persada Damai, Bandar Enstek, Negeri Sembilan, Selasa minggu lepas.

Menurut anak lelaki Allahyarham, Muhammad Yasir Samsuddin, 33, Allahyarham pada ketika itu mengadu sakit kepala selepas melaungkan azan namun tetap menunaikan solat sunat sebelum Isyak.

“Semasa sedang solat sunat itu dia jatuh dan badannya berpeluh-peluh dan muntah-muntah, jemaah lain baringkan dia dan buka baju dia. Kemudian kami panggil ambulan dan bawa ke Hospital Tengku Jaaafar Seremban.”

Yasir yang dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) pagi tadi berkata, pada tengahari Khamis minggu lepas Allahyarham menjalani pembedahan di bahagian kepala yang berlangsung selama 12 jam dan berakhir pada jam 1 pagi Jumaat.

Tambah beliau, selepas menjalani pembedahan pada hari berikutnya Allahyarham sedar dan beliau cukup terharu kerana di saat itu mulut ayahnya itu kerap menyebut nama Allah.

Namun pada petang Jumaat, kata Yasir, keadaan Allahyarham menjadi tidak stabil dan degupan jantung Allahyarham terhenti sehingga pihak hospital terpaksa melakukan CPR, namun berjaya distabilkan.

Tambah Yasir lagi, jantung ayahnya itu berhenti sekali lagi ketika doktor cuba memasukkan tiub pernafasan menyebabkan doktor terpaksa melakukan CPR sekali lagi.

Jelas Yasir lagi, doktor kemudian terpaksa ‘menidurkan’ ayahnya dengan memasukan ubat tidur untuk mengelakkan keadaan tadi berulang.

Kata Yasir, pada mulanya dari CT Scan yang dilakukan oleh doktor menunjukkan pembedahan yang dilakukan sebelum itu berjaya namun CT Scan yang dilakukan selepas Allahyarham melalui prosedur CPR menunjukkan berlaku semula pendarahan di dalam otak Allahyarham.

“Pada masa tu bahagian otak ayah dah kurang oksigen. Doktor pun dah suruh panggil saudara mara boleh datang melawat, sebab kalau ikutkan pada masa itu bahagian otak memang dah hampir tiada respons.

“Cuma badan dia saja yang masih bagi respons, jantung dia, nadi dia masih ada lagi, jadi doktor kekalkan mesin oksigen, cuma doktor suruh kita monitor.” Ujar beliau.

Menurut Yasir, sehinggalah pada Ahad pagi fizikal Allahyarham sudah tiada respons dan doktor meminta persetujuan keluarga beliau untuk menghentikan mesin pernafasan.

Kata Yasir, selepas doktor membuat beberapa ujian dan mendapati memang badan Allahyarham sudah tidak lagi memberi respons maka pihak keluarga membuat keputusan untuk memberikan kebenaran untuk mencabut mesin pernafasan.

Menurut Yasir, Allahyarham ayahnya itu menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga tercinta pada jam 2.55 tengahari semalam selepas mesin pernafasan itu ditanggalkan.

Allahyarham adalah seorang pesara TUDM dan kali terakhir berkhidmat di Markaz TUDM Kuantan sebelum bersara pada tahun 2005 dan kini menetap di Persada Damai Bandar Enstek Negeri Sembilan.

Allahyarham yang aktif di dalam PAS Labu Negeri Sembilan selepas bersara dari perkhidmatan TUDM itu meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Turut menziarahi keluarga Allahyarham ialah Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman yang datang bersama keluarga beliau.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)