Oleh : Abu Harith
PERASAAN takut merupakan antara lapan emosi asas yang ada pada manusia menurut Ahli Psikologi, Goleman (1977). Antara emosi lain ialah sedih, takut, gembira, sayang, benci, malu dan hairan.
Takut kepada makhluk, buatkan kita semakin jauh dan jauh. Jauh bukan hanya fizikal bahkan jauh juga hatinya. Tawar untuk bertegur sapa dan bermesra lagi.
Berbeza pula perasaan takut kepada Allah SWT yang akan membuatkan kita semakin dekat dan lebih rapat kepada-Nya. Ajaib sungguh!
Bahkan perasan takut ini juga mampu melahirkan semakin tinggi rasa kehambaan. Rasa hidup bertuhan.
Takut akan azab-Nya, meyakini setiap kebaikan serta keburukan akan dibalas dan setiap kelakuan diperhitungkan akan menyebabkan kita lebih berhati-hati dalam setiap tindakan.
Bertepatan dengan firman-Nya.
مَن جَآءَ بِٱلۡحَسَنَةِ فَلَهُۥ عَشۡرُ أَمۡثَالِهَاۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجۡزَىٰٓ إِلَّا مِثۡلَهَا وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).
-Surah Al-An’am, Ayat 160
Sebenarnya, perasaan takut ini akan menyebakan kita mulai sedar, kita hamba yang lemah segalanya. Namun dengan bantuan-Nya kita akan dapat melakukan sesuatu yang awalnya dirasakan mustahil. Sesungguhnya, bantuan Allah SWT itu sentiasa bersama orang yang menyerah diri kepada-Nya.
Perasaan takut itu sebenarnya harus disandarkan dengan perasaan penuh pengharapan. Berharap pertolongan Allah sentiasa bersama kita.
Sebagaimana firman Allah.
إِذۡ تَسۡتَغِيثُونَ رَبَّكُمۡ فَٱسۡتَجَابَ لَكُمۡ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلۡفٖ مِّنَ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ مُرۡدِفِينَ
(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.
-Surah Al-Anfal, Ayat 9
Sesungguhnya Dia tidak jauh. Bahkan lebih dekat daripada apa yang kita sangkakan. Di saat kita susah mahupun senang. Tika lapang mahupun sibuk. Namun, kitalah yang selalu lalai, alpa mengingati-Nya.
Allah berfirman.
وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ وَنَعۡلَمُ مَا تُوَسۡوِسُ بِهِۦ نَفۡسُهُۥۖ وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ ٱلۡوَرِيدِ
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,
-Surah Qaf, Ayat 16
Oleh itu, yakinlah dengan sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang Allah SWT kepada semua hamba-Nya. Perasaan takut yang ada ini membawa kita lebih dekat kepada-Nya jika diuruskan dengan baik. Semakin kuat berusaha menagih kepada keampunan-Nya.
Sesungguhnya rahmat dan kasih sayangnya Allah SWT itu mengatasi segala kemurkaan-Nya. Ambilah peluang ini sebelum kita dipanggil kembali mengadap-Nya.
Penulis adalah seorang Kaunselor Berdaftar.