Oleh : Ibnu Janie
GRADUAN yang sedang memilih kerjaya biasanya akan memilih samada untuk makan gaji atau berniaga. Namun apabila kita sebut tentang berniaga atau keusahawanan ini ramai yang akan membangkitkan soal modal untuk memulakan perniagaan. Banyak yang perlu dipersiapkan untuk membuka sesebuah perniagaan.
Sebenarnya seseorang graduan yang mempunyai minat untuk berniaga tetapi tidak mempunyai modal yang mencukupi atau tidak yakin untuk mengeluarkan modal untuk membuka perniagaan boleh menceburi pekerjaan yang menawarkan komisen.
Seseorang graduan yang menceburi bidang pekerjaan berkomisen ini mempunyai peluang untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi dari pendapatan dengan gaji tetap. Ia sebenarnya sama dengan seseorang graduan itu membuka perniagaan tapi tidak perlu mengeluarkan modal dan risikonya juga rendah.
Ada dua jenis kerjaya yang berkomisen ini iaitu yang pertama kerjaya berkomisen tanpa gaji asas dan yang kedua ialah kerjaya berkomisen dengan gaji asas.
Bagi kategori pertama iaitu kerjaya berkomisen tanpa gaji asas ini ialah seperti agen insurans, agen amanah saham, agen hartanah dan agen penapis air seperti Coway atau Cuckoo. Agen seperti ini akan menerima komisen yang tinggi dari setiap jualan yang mereka buat.
Sementara bagi kategori kedua iaitu kerjaya berkomisen dengan gaji asas pula, ia juga mempunyai dua kategori. Kategori yang pertama ialah jawatan yang menawarkan gaji asas yang rendah dengan komisen yang tinggi dan kategori kedua ialah jawatan dengan gaji asas yang tinggi tetapi komisen rendah.
Bagi kerjaya yang menawarkan gaji asas yang rendah dengan komisen tinggi ini biasanya gaji asas itu hanya sebagai ‘kusyen‘ sekiranya tiada jualan dapat dibuat oleh jurujual itu. Sekurang-kurangnya ada sedikit gaji asas.
Biasanya contoh kerjaya yang berada dalam kategori ini ialah jurujual kereta. Kadangkala mereka hanya menerima dari RM400 hingga RM700 sebulan sahaja gaji asas. Namun komisen yang mereka terima tinggi. Dan akhirnya gaji asas itu tidak memberi apa-apa makna apabila komisen mereka berpuluh kali ganda lebih tinggi dari gaji asas mereka.
Bagi kategori kerjaya yang menawarkan gaji tinggi dengan komisen rendah pula, biasanya ialah mereka yang bekerja sebagai kakitangan atau eksekutif bank yang terlibat dalam menjual kad kredit, insuran, pembiayaan-pembiayaan dan lain-lain produk bank.
Mereka biasanya dibayar komisen oleh pihak bank, cuma komisen yang mereka terima tidak setinggi yang dibayar kepada agen-agen kewangan berkomisen tanpa gaji asas seperti agen insurans. Ini adalah kerana mereka dibayar gaji asas yang normal seperti jawatan bergaji tetap yang lain.
Jika kita pergi ke pasaraya-pasaraya pula sebenarnya ada dua jenis pembantu jualan di situ. Ada kakitangan pasaraya dan ada jurujual yang dilantik oleh jenama yang produknya ada dijual di pasaraya itu. Contohnya di sebuah pasaraya seperti AEON, katalah di bahagian audio visual ada menjual produk jenama Panasonic, biasanya Panasonic akan meletakkan seorang jurujual yang dibayar gaji oleh Panasonic sendiri untuk mempromosikan produk jenamanya itu. Mereka ini dipanggil ‘promoter‘.
Dan biasanya ‘promoter‘ yang dilantik oleh syarikat pengeluar jenama ini mempunyai gaji asas dan berkomisen. Dari pengalaman penulis semasa bekerja di Jaya Jusco pada awal tahun 2000 dahulu, kadangkala ada ‘promoter‘ yang boleh mendapat komisen mencecah sehingga RM5 ribu sebulan. Kadangkala komisen yang diterima oleh seseorang ‘promoter‘ itu lebih tinggi dari gaji pengurus cawangan pasaraya.
Namun penulis melihat cabaran yang paling besar adalah ketahanan diri seseorang graduan yang memilih untuk menceburi bidang ini untuk jawatan berkomisen dengan gaji asas yang kecil lebih-lebih lagi untuk jawatan berkomisen yang tidak menawarkan gaji asas langsung.
Bayangkan anda memilih untuk menjadi agen insurans tanpa gaji asas sementara seorang lagi rakan anda yang sama-sama belajar di kampus dulu mendapat jawatan bergaji tetap. Anda sedang bertarung hidup dengan komisen sekitar RM800 sebulan sedangkan rakan anda sudah menerima gaji tetap sebanyak RM2500 sebulan. Di sinilah letaknya cabaran psikologi kepada seseorang yang memilih kerjaya berkomisen tanpa gaji asas ini.
Biasanya mereka yang memilih kerjaya seperti ini terpaksa bertahan lama dengan komisen yang kecil selama bertahun-tahun sebelum berjaya. Dugaan sangat besar di saat kita sedang bertarung mendapatkan jualan dan pelanggan, di masa itu juga rakan-rakan sekampus yang sama-sama belajar dahulu sedang menikmati gaji yang besar dengan segala kemudahan membuat pinjaman bank dan berbagai-bagai kemudahan lain yang layak diterima oleh mereka yang bergaji tetap.
Sebenarnya graduan yang ingin memilih jawatan berkomisen ini sebagai kerjaya ini tidak perlu mempedulikan rakan-rakan yang sedang menikmati gaji yang tinggi pada masa sekarang. Ini adalah kerana apabila mereka meningkat pada usia 30an biasanya yang memilih kerjaya sebagai agen berkomisen ini biasanya akan memintas jauh rakan-rakan mereka yang bergaji tetap ini.
Contohnya seseorang yang memilih satu pekerjaan tetap dan mendapat gaji sebanyak RM2500 sebulan sebaik menamatkan pengajian mungkin akan mendapat gaji sekitar RM5000 sebulan semasa berusia 30an.
Namun sekiranya seseorang yang memilih kerjaya berkomisen tanpa gaji tetap mungkin terpaksa bersusah-payah dengan memperolehi pendapatan sekitar RM1000 sebulan untuk tahun-tahun awal sebagai agen. Tetapi mereka ada kemungkinan boleh memperolehi pendapatan mencecah RM15 ribu hingga RM30 ribu sebulan ketika dalam usia 30an.Seperti kata peribahasa ‘bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.
Selain itu persepsi bahawa kerjaya sebagai jurujual ini ‘berkasta‘ rendah juga menghantui para graduan. Memang biasanya untuk menjadi jurujual tidak memerlukan ijazah. Namun begitu ‘kasta‘ ini juga akan berubah apabila seseorang jurujual itu sudah menerima komisen lima angka, mampu menggunakan kereta mewah dan membeli rumah di taman perumahan mewah.
Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah
Rencana ini pernah disiarkan di dalam Harakah cetak pada keluaran 4 September 2020.