Oleh : Ibnu Janie
BARU-BARU ini penulis diminta oleh Ketua Penerangan PAS Melaka, Haji Bakri Jamaluddin untuk membuat liputan program Majlis Hi-Tea Bersama Bekas Wira Negara, sebuah majlis penghargaan anjuran PAS Kawasan Tangga Batu untuk pesara-pesara polis dan tentera yang berlangsung di Dewan Japerun Sungai Udang, Melaka.
Rata-rata pesara tentera dan polis yang diraikan adalah dari Dun Sungai Udang yang merupakan salah satu DUN di bawah PAS Kawasan Tangga Batu di mana Haji Bakri adalah Yang Dipertuanya. Terlalu banyak perkara yang menyentuh perasaan untuk dikongsikan di dalam program tersebut.
Antara yang terkesan pada hati sanubari penulis ialah ucapan yang dibuat oleh Pengerusi Persatuan Polis Pencen Malaysia Cawangan Melaka, ASP (B) Yahya Md Sahid yang sudah 13 tahun bersara dari perkhidmatan polis.
“Cerita kami boleh dibuat novel, tapi siapa sudi membacanya?” Begitulah luahan ASP (B) Yahya ketika menyampaikan ucapan mewakili pesara polis di dalam majlis tersebut.
Beliau yang pernah berkhidmat di dalam Polis Hutan menceritakan sedikit sebanyak pengorbanan yang mereka hadapi sepanjang bertugas menjaga keselamatan di sempadan negara.
Memang terlalu banyak hendak diceritakan tentang pengorbanan-pengorbanan wira-wira negara ini. Cerita mereka semuanya menyentuh hati dengan pelbagai jalan cerita yang kebanyakkannya tragis bagaikan sebuah novel.
Namun adakah segala cerita pengorbanan-pengorbanan mereka ini akan dihargai oleh mereka yang mendengarnya? Adakah mereka akan dikenang dan disanjung? Adakah segala kepayahan hidup mereka selepas bersara akan dibela? Itulah yang dimaksudkan oleh Yahya di dalam ucapannya itu.
Memang bila disebut tentang pengorbanan, semua kerjaya lain juga ada pengorbanannya. Guru berkorban, jurutera berkorban, Pegawai Tadbir dan Diplomatik juga berkorban. Tetapi pengorbanan anggota tentera dan polis ini bukan sekadar masa, tenaga, keluarga, tapi pengorbanan mereka melibatkan nyawa.Malah, menurut Yahya kebanyakan rakan-rakan beliau pesara polis yang hadir pada majlis itu adalah golongan yang pernah berkhidmat pada tahun-tahun sebelum komunis meletak senjata pada 2 Disember 1989 di mana pada masa itu ancaman komunis masih kuat.
Namun apa yang beliau kesalkan ialah apabila diceritakan segala pengorbanan dan kesusahan mereka ada pula yang berkata bahawa itu adalah pilihan mereka sendiri untuk menjadi polis atau tentera.
Jawab Yahya, jika tiada golongan seperti mereka ini yang sanggup memilih untuk menjadi tentera atau polis, sudah pasti mereka yang bekerja di sektor-sektor lain tidak dapat menjalankan tugasan mereka kerana negara tidak aman.
Sebenarnya di kalangan bekas tentera dan polis ini, golongan yang paling terkesan dan perlu diberi perhatian ialah mereka yang tidak berpencen yang kebanyakan mereka dari golongan tentera yang berkhidmat kurang dari 21 tahun.
Mereka juga harus diberi keutamaan untuk mendapat peluang perniagaan sebagai kontraktor atau syarikat perbekalan untuk perolehan Angkatan Tentera Malaysia. Terutama pembekal-pembekal berskala kecil.
Sementara anggota-anggota tentera atau polis yang cacat anggota ketika menjalankan tugas dan mereka yang sudah sakit terlantar harus diberi perhatian serius oleh kerajaan dalam soal kebajikan mereka.
Golongan bekas polis dan tentera yang sudah uzur memerlukan pelbagai bantuan, terutamanya lampin pakai buang. Menurut Yahya yang telah banyak menjalankan program bantuan di bawah persatuannya itu berkata, bagi mereka yang Muslim, apabila solat mereka perlu menukar lampin pakai buang untuk membolehkan mereka solat sehingga mencecah 10 keping sehari.
Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek ketika berucap mewakili Ketua Menteri Melaka di dalam program yang sama berkata MAIM sebenarnya di dalam peringkat kajian terhadap satu program bagi membantu mereka yang terlantar dan tinggal bersendirian di rumah tanpa ahli keluarga yang boleh membantu.
Menurut Ustaz Kamarudin, MAIM sedang mempertimbangkan satu kertas cadangan dari sebuah syarikat perunding yang bersedia untuk menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai yang sakit terlantar dalam keadaan tiada saudara-mara yang boleh menguruskan mereka. Syarikat ini boleh memberikan perkhidmatan penjagaan oleh jururawat untuk golongan seperti ini.
Tambah Ustaz Kamarudin lagi, cadangan ini sedang dalam peringkat pertimbangan dari Ahli Lembaga MAIM. Sekiranya ia diluluskan, pihak MAIM akan menanggung sebahagian dari kos ini sebagai tanggungjawab kerajaan.
Penulis fikir ia satu program yang sangat bagus. Kadangkala kesukaran yang dihadapi rakyat bukan sekadar tidak cukup duit, tapi ada antara mereka yang tiada kemudahan kenderaan untuk ke hospital atau ke pusat dialisis atau mereka hidup seorang diri tiada penjaga untuk kes-kes mereka yang telah kematian suami atau isteri atau diabaikan anak-anak dan juga mereka yang tidak pernah berkahwin.
Apa pun bagi penulis golongan bekas tentera dan polis ini walau apa pun situasi mereka seharusnya mereka dijadikan anak emas negara. Penjagaan kebajikan mereka harus ‘tip-top’ dan terbaik terutama selepas mereka bersara.
Tidak sepatutnya hingga ada di antara mereka yang wajah mereka terpampang di media-media massa meminta bantuan dan hidup dalam kesusahan. Pihak kerajaan sepatutnya sentiasa menyimpan rekod mereka semenjak mereka mula meninggalkan perkhidmatan.
Jejaki mereka dan sentiasa tidak lepas pandang apa situasi mereka sekarang. Biarlah novel pengalaman mereka dibaca oleh semua rakyat Malaysia dengan penuh kebanggaan dan penghargaan. Selamat Hari Malaysia!
Penulis adalah Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah.
* Rencana ini telah tersiar di Harakah cetak pada 18 September 2020