Home Artikel PAS Melaka

Kolumnis : Iqtisad rakyat – zakat

239
SHARE

“AWAK dah keluarkan zakat untuk tahun ini?”

“Baik saya beri terus kepada asnaf”

“Tak tahu ke mana dibelanjakan duit zakat kita”

“Aku dah bayar zakat fitrah bulan Ramadan yang baru ni”

“Aku bukan ada banyak harta, kenapa nak kena keluarkan zakat?”

Assalamualaikum

Kembali bersua buat para pembaca yang budiman serta dihormati sekalian. Semoga kita terus diberikan kekuatan untuk menyusuri hidup ini dalam reda-Nya. Bait-bait kata yang saya coretkan di atas adalah sebahagian dari ayat-ayat yang biasa diucapkan oleh masyarakat kita soal yang berkaitan dengan zakat dan perlaksanaannya di Malaysia. Justeru untuk siri kali ini dan beberapa siri akan datang, penulis akan fokus kepada tajuk yang berlegar dalam konteks zakat iaitu, “Zakat – Peranan, hikmah dan manfaat untuk seluruh umat islam”.

Bijak pandai ada mengatakan harta itu diumpamakan seperti air mengalir. Selagi air mengalir, selagi itulah ia bersih dan jernih. Jika air itu bertakung, maka ia akan kotor dan membusuk. Maka zakat adalah salah satu kaedah yang disyariatkan dalam Islam bagi tujuan untuk menyucikan harta kita. Untuk memulakan bicara ini, mari kita lihat pengertian zakat dari sudut bahasa dan syarak serta falsafah zakat itu sendiri

Pengertian bahasa

Merupakan kata terbitan dari kalimah ( زَكَى ) bermaksud suci dan subur, termasuklah bersih, berkat, berkembang, dan baik kepada harta zakat, pembayar zakat, dan penerima zakat.

Dari segi syarak

Zakat adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.

Hukum zakat

Zakat adalah fardu ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib.
Oleh itu, seseorang muslim yang mengingkari kefarduan zakat boleh mengakibatkan murtad. Manakala individu muslim yang meninggalkan zakat tanpa mengingkari kewajipannya adalah berdosa besar. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat dengan sempurna serta mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak.

Hikmah disyariatkan zakat

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang kelima. Antara hikmah dan tujuan Allah swt mensyariatkan zakat ialah :

1. Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.

2. Membersihkan diri pembayar zakat.

3. Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.

4. Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT di kalangan golongan yang berada.

5. Mengurangkan perasaan iri hati di kalangan yang kurang bernasib baik.

6. Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan Allah swt di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.

7. Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka.

8. Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.

9. Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredai Allah swt

10. Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.

Dalil Al Quran tentang hukum zakat

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebajikan dan melarang berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

(Surah At-Taubah: 71)

Allah swt mewajibkan zakat ke atas semua umat Islam dengan syarat-syarat khusus yang dinyatakan sebagai satu bentuk jaminan bahawa sesungguhnya umat islam harus saling bantu membantu sesama mereka dalam soal ekonomi dan aspek kehidupan. Ini juga untuk mempastikan agar sumber kekayaan atau harta itu tidak hanya berlegar di kalangan golongan yang tertentu saja namun ianya dapat dikecapi bersama. Zakat juga dapat menyemai benih atau perasaan kasih sayang antara semua lapisan masyarakat dan mengajar kita mensyukuri nikmat kurniaan Allah serta mengikis sifat kedekut dan tamak haloba dalam diri golongan khususnya yang berharta.

Terdapat banyak ayat-ayat dalam al-quran yang mengesahkan perihal zakat ini serta digabungkan sekali dengan perintah supaya umat islam mendirikan bersolat :

“Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk.”

(Surah Al Baqarah – ayat 43)

Demikianlah pentingnya tuntutan zakat ini sehingga di dalam Al-Quran ada 27 ayat yang menceritakan perihal zakat dan disekalikan dengan tuntutan solat. Solat adalah tiang agama dan menjadi asas penting dalam membentuk peribadi muslim sejati manakala zakat pula adalah tuntutan bersifat ekonomi yang mempunyai peranan yang amat besar dalam membentuk keharmonian umat dan masyarakat khususnya umat islam. Jika sekiranya zakat ini dapat diperkasakan dan diurus tabdir dengan baik, nescaya akan wujud keseimbangan hidup yang selalu kita suara dan perjuangkan

Jenis-jenis zakat yang diwajibkan dalam islam :

ZAKAT FITRAH

Zakat Fitrah atau dikenali dengan juga dengan zakat diri dan zakat Ramadan telah diwajibkan pada tahun ke-2 Hijrah iaitu sama dengan tahun diwajibkan puasa dalam bulan Ramadan. Zakat Fitrah diwajibkan adalah bertujuan sebagai penyuci orang yang berpuasa dari perkataan-perkataan keji dan buruk yang mereka lakukan sewaktu berpuasa. Selain itu, zakat fitrah menjadi makanan untuk diberikan kepada orang-orang yang miskin khususnya untuk menyambut hari raya puasa. Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan merupakan makanan ruji atau asasi (yang mengenyangkan) bagi sesebuah negara tersebut, sebagai contohnya kita di Malaysia ialah beras

ZAKAT HARTA

Zakat yang diwajibkan apabila sudah mencapai nisab (mencapai jumlah tertentu) akan sesuatu harta tersebut. Zakat harta ini merangkumi hasil perniagaan, pertanian, hasil ternak, hasil temuan, emas, perak dan matawang dimana harta-harta tersebut memiliki kadar nisab yang tersendiri.

JENIS-JENIS ZAKAT HARTA

• Zakat Pendapatan
• Zakat Pertanian
• Zakat Simpanan
• Zakat Perniagaan
• Zakat Pertanian
• Zakat Emas & Perak
• Zakat Ternakan

Bersambung di siri yang akan datang. In-syaa Allah.

“ISLAM MEMPERKUKUH PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam

HJ RAFIE HJ AHMAD
Timbalan Yang Dipertua
PAS Kawasan Tangga Batu
Ketua Lajnah Ekonomi PAS Melaka

Sumber : JAKIM


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)