Home Artikel PAS Melaka

Politeknik Merlimau perkasa kegiatan sukan norma baharu

316
SHARE

Oleh: Zill Qayyim

JASIN, 23 Sept – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) amat cakna dengan perubahan dan prosedur operasi standard (SOP) mengenai amalan norma baharu akibat penularan pandemik Covid-19 terutama yang berkaitan kegiatan sukan.

Ketua Unit Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (USKK), Amir Awang @ Muda berkata, PMM menerusi unit beliau sentiasa mendukung dasar kerajaan dalam memastikan penglibatan pelajar bagi aktiviti ko-kurikulum terutama sukan diberi penekanan terhadap pematuhan SOP.

Tambah beliau yang baru sahaja dilantik sebagai Ketua USKK pada Mei yang lalu, USKK sendiri telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan pematuhan ini sentiasa dipatuhi.

“PMM mengambil pendekatan yang proaktif seiring dengan arahan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi dengan menghadkan aktiviti sukan dalam kampus terutama sukan bersentuhan seperti ragbi, bola sepak, bola jaring dan bola tampar. Hanya lima sukan indoor dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat iaitu badminton, ping pong, sepak takraw, skuasy dan tenis.

“Walau bagaimanapun, penglibatan pelajar di luar kampus bagi mewakili negeri dan negara masih lagi dibenarkan dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN, KKM, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Sukan Negara,” kata beliau.

Amir (tengah) memegang beberapa trofi kemenangan yang dimenangi bagi tahun 2019 dan 2020 

PMM adalah antara Politeknik di Malaysia yang telah banyak mengharumkan nama Politeknik dalam bidang sukan kerana terlibat dan merangkul beberapa kejohanan utama sukan.

Antaranya ialah sukan ragbi di mana atletnya Amalul Hazim Nasarrudin adalah merupakan atlet peringkat kebangsaan yang membantu Malaysia meraih pingat perak di Sukan SEA 2019.

“Berbicara soal latihan sukan oleh atlet PMM, ketika ini, Amalul Hazim Nasarrudin dan Cassler Dominic Anak Gisang sedang melakukan latihan intensif di ibu negara bersama skuad ragbi kebangsaan bagi menghadapi kejohanan akan datang iaitu Komanwel dan beberapa kejohanan utama.

“Walaupun bagi sukan ragbi tiada penganjuran sukan bagi tahun ini, tetapi kedua-dua atlet PMM ini sentiasa komited menyertai latihan yang direncana oleh skuad ragbi kebangsaan,” ujarnya lagi.

Amalul (kanan) dan Cassler giat mengadakan latihan intensif bersama pasukan kebangsaan di ibu negara

Tambah beliau lagi, PMM juga turut berbangga kerana terdapat tiga atletnya yang lain sedang melakukan latihan iaitu Aliya Mariam Ibrahim (ragbi wanita) bagi persiapan menghadapi Sukan Malaysia 2021 (SUKMA) mewakili Negeri Selangor, Nur Aisyah Ismail (sepak takraw wanita) mewakili Pulau Pinang SUKMA 2021 dan Nur Syakirin Md Zin sedang mengikuti latihan bagi pemilihan Pasukan Hoki Politeknik Malaysia.

Amir berkata demikian menerusi satu siaran media yang dihantar ke bilik berita CPP-Berita PAS Melaka semalam.

Untuk rekod, pelbagai inisiatif dan insentif telah diperkenalkan oleh PMM sejak awal penubuhannya dalam memberikan pengiktirafan kepada pelajar dan pensyarah melalui pelbagai kaedah seperti penganjuran PMM Curricular Award secara dwi tahunan, menyediakan kemudahan sukan lengkap, penyertaan dalam pelbagai acara sukan anjuran Majlis Sukan Politeknik, MASUM serta memberi sokongan kepada pelajar yang mewakili negeri dan negara.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)