Penilaian dasar perlu analisis kritikal berteraskan syariah, kemaslahatan – TMB Kelantan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media TMB
KOTA DARULNAIM, 14 Januari – Penilaian terhadap isu pentadbiran dan dasar kerajaan tidak boleh dibuat secara literal semata-mata berdasarkan fakta atau dokumen, sebaliknya perlu dianalisis secara kritikal dengan mengambil kira kebenaran tersurat dan tersirat, berpandukan prinsip syariah serta kemaslahatan dunia dan akhirat.
Demikian kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Menurutnya, kerangka amanah pentadbiran kerajaan Negeri Kelantan berpaksikan pendekatan MBI-UMI, yang menuntut proses membuat keputusan dilakukan melalui penelitian mendalam, mendengar pandangan pelbagai pihak, menilai isu secara konsep istiqra’ serta memilih alternatif paling munasabah dan berimpak tinggi.
“Pendekatan ini memastikan setiap keputusan bukan sahaja memberi manfaat dari sudut duniawi, malah selari dengan tuntutan ukhrawi,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.
Terdahulu beliau menghadiri Program Master Class Anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim.
Sumber: inforakyat.kelantan.my