Home Ketua Penerangan PAS Pusat

2021 : Pemulihan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat dan Kestabilan Politik

269
SHARE

Perutusan Tahun Baharu
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

2021 : Pemulihan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat dan Kestabilan Politik

Tahun 2021 merupakan satu fasa mencabar buat negara untuk memulihkan semula pelbagai sektor yang terkesan akibat bencana COVID-19.

PAS melihat beberapa perkara penting bagi menghadapi tahun baharu 2021:

1. Teguh bersama menangani COVID-19
Pada tahun 2020, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah memperuntukkan nilai yang besar bagi mendapatkan perbekalan vaksin COVID-19 melalui kerjasama dengan negara-negara luar. Peruntukan awal sebanyak RM2.05 bilion telah dibelanjakan bagi pembelian vaksin untuk 26.5 juta rakyat Malaysia. Rakyat tidak perlu ragu kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan hukum harus penggunaan vaksin dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Perlu diingatkan wabak ini masih belum reda, kita mesti mengamalkan norma baharu dan mengikuti perkembangan yang ditetapkan oleh MKN dan KKM.

2. Fasa Pemulihan Ekonomi

Negara sedang bergerak dalam fasa Recovery (Pemulihan) ekonomi. Tahun ini dijangka melangkah pada fasa Revitalise (memperkasakan) ekonomi seterusnya Reform (menyusun semula) struktur ekonomi untuk membolehkan negara pulih sepenuhnya.

Berikutan dengan isu pengangguran dan cabaran peluang pekerjaan, sektor ekonomi gig mesti diterokai kerana dilihat lebih fleksibel dan dapat membantu menjana pendapatan terutamanya buat generasi muda.

3. Perkukuh Muafakat Nasional, Pertahan Perikatan Nasional

Kestabilan politik daripada muafakat ini telah memenangi hati rakyat dalam mentadbir negara. Rakyat Malaysia telah memberikan kepatuhan dan kepercayaan kepada kerajaan untuk mengurus tadbir negara yang dilanda COVID-19. Sekalung penghargaan buat seluruh rakyat atas kepercayaan yang diberikan kepada kerajaan PN.

Amatlah diharapkan budaya politicking dihentikan kerana ia bakal memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat serta keyakinan para pelabur di Malaysia.

Kerajaaan PN perlu dipertahankan pada PRU-15 demi kemakmuran negara. Cukuplah sejarah hitam 22 bulan Pakatan Harapan mentadbir dan usah biarkan ia berulang kembali. Oleh itu, PAS bersiap-siaga menyediakan jentera di setiap peringkat untuk berhadapan PRU-15.

PAS terus komited untuk mengambil cakna isu-isu negara dan ummah demi bersama-bersama menjaga keharmonian antara kaum dalam negara tercinta.

PAS juga berharap kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia dapat berganding bahu ‘bagai aur dengan tebing’. Semoga Allah mengangkat wabak COVID-19 sepenuhnya khusus di negara Malaysia.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
1 Januari 2021 | 17 Jamadil Awal 1442