Manusia Jadi Bodoh Apabila Tiada Sifat Takut Kepada Allah
DUNGUN – Apabila tiada sifat takut kepada Allah (Al Khauf), kecerdikan manusia akan dimanipulasi’menjadi bodoh’, merosakkan agama untuk kepentingan diri dan nafsu.
Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu, Ustaz Jamaluddin Jusoh menyelar sikap mereka yang memperalatkan ilmu agama hanya sebagai ‘jibayah’ iaitu melaksanakan Islam secara terpilih, bukan sebagai sumber hidayah.
“Walaupun cerdik pandai, berkelulusan luar negara, cerdik pandai mereka itu tanpa ‘Al-Khauf’, hanya di dunia tidak sampai ke akhirat,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan, PAS Dungun berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Rendah Agama Bersepadu Zainal Abidin di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, pada 18 November.
Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang dan ADUN Sura, Wan Hapandi Nik.
Ustaz Jamaluddin turut menekankan perlunya ada kesinambungan pembelajaran anak-anak yang di hantar ke sekolah rendah Islam hingga ke sekolah menengah Islam.
“Kita hantar ke Sekolah Rendah Islam, kita hantar ke Sekolah Menengah Islam sampai mereka matang dan kendiri.
“Waktu tu kita boleh lepas(memberi kepercayaan) sebab input-input yang mereka dapat daripada sekolah rendah, sekolah menengah akan kekal di hati mereka,” katanya optimis.
Ketika itu, tambahnya lagi, mereka boleh meneruskan kehidupan sebagai seorang anak yang soleh.
“Walaupun mereka ingin mencari keduniaan itu, tetapi mereka dibatasi takut kepada Allah mereka tidak akan merentasi halal atau haram. Mereka tetap ingat Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” ujarnya lagi.