Pendidikan Seks; Muslimat Sedia Beri Pandangan
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – Muslimat PAS bersedia untuk duduk semeja bagi membincangkan soal pendidikan seks yang dicadang akan dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia Ustazah Hajjah Nuridah Mohd Salleh berkata, beliau berbesar hati memberi pandangan berkenaan perkara tersebut sebelum kerajaan mengambil sesuatu tindakan.
“Kalau kita nak kata tentang pendirian PAS, setakat ini secara serius PAS tak ada bincang perkara ini lagi untuk membuat keputusan macam mana.
“Cuma maknanya kalau daripada kita pihak Dewan Muslimat, kita memang mengikuti masalah terutama remaja kita dalam masalah gejala sosial sekarang ini.
“Sebab antara penyebab kepada masalah gejala sosial yang menyebabkan kepada perzinaan. Antaranya ialah sangat tersebar luas masalah gambar-gambar lucah.
“Senang sangat. Budak sekarang ini, diorang memang terpaksa belajar, ada e-mel sendiri misalnya,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara (Senator) berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Majlis Hi-Tea dan Pelancaran Gabungan NGO Wanita di Permai Hotel semalam, 26 Januari.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan sepatutnya memasukkan mata pelajaran Pendidikan Islam di semua peringkat sekolah.
“Kita nak tahulah dari sudut pandangan Kementerian Pendidikan sendiri macam mana dia nak masuk pendidikan Islam ini. kadang-kadang ada orang pertikaikan ini bukan sekolah agama.
“Sebenarnya pendidikan Islam itulah yang sepatutnya menjadi benteng (cegah zina) samada anak remaja ataupun orang dewasa,” ujarnya.