Rampas Tanah Pertanian; Kerajaan Umno-BN Bodoh Dan Zalim
MARANG – Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) isifatkan sebagai ‘bodoh dan zalim’ kerana merampas kembali tanah-tanah, termasuk tanah pertanian yang diberi oleh PAS kepada rakyat.
Pesuruhjaya PAS negeri Terengganu, Dato Ustaz Husain Awang berkata, kerajaan PAS menganugerahkan tiga ekar tanah pertanian kepada rakyat yang mempunyai kelayakan dan keupayaan untuk memajukan tanah semasa memerintah negeri Terengganu pada 1999 – 2004.
“Usaha yang kita (PAS) lakukan itu adalah langkah untuk memajukan pertanian dan menggembleng seluruh tenaga rakyat untuk menyediakan makanan serta bekalan yang mencukupi bagi negara,
“dan rakyat dalam menghadapi apa jua situasi yang mungkin akan berlaku,” tegasnya.
Malangnya, kata beliau, Umno dan BN yang kembali memeritah selepas pilihan raya umum kali ke 11 telah merampas kembali tanah itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program pelancaran benih ubi keledek ‘Sweet Latas’ oleh Presiden PAS Dato; Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, Jumaat, 9 Februari, di sini.
Menurutnya, bidang pertanian adalah satu bidang yang besar, bukan sahaja kita boleh berbakti kepada masyarakat tetapi kemuncaknya, adalah merupakan ibadat kepada Allah SWT.
“Tanggunjawab sesebuah kerajaan ialah menjaga keselamatan negara dan rakyat, faktor yang membawa kepada keselamatan ialah apabila wujudnya kestabilan dari segi politik,
“dan mempunyai pertahanan dan persenjataan yang mencukupi dan mampu untuk mempertahankan negara,” jelas beliau.
Tambah Dato Husain lagi, faktor keselamatan negara ialah mempunyai makanan yang mencukupi merupakan faktor utama menentukan kesejahteraan dan keselamatan kepada negara dan rakyat.
“Oleh itu apa yang dilakukan dan produk hasil yang kita cipta pada hari ini adalah merupakan langkah pertama,
“untuk membuktikan bahawa kita mempunyai wawasan ke arah membina sebuah negara yang selamat dan bahagia terutama menerusi penyediaan makanan yang mencukupi kepada rakyat,
“tahniah kepada Lajnah Asas Tani Dan Alam Sekitar (LATAS) berjaya mencipta satu produk baru dan semoga satu sumber pekerjaan kepada rakyat,” ujar beliau.