YDP Kuala Nerus Dimasukkan Ke Hospital Kerana Keletihan
KUALA NERUS – Keletihan melampau mungkin antara faktor menyebabkan Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Cikgu M Shukrimun Shamsuddin dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Isnin, 28 Ogos yang lalu.
Ketua Penerangan PAS Kuala Nerus YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, walaupun keadaan Cikgu Shukrimun dilaporkan stabil, namun buat masa ini, pihak HSNZ memindahkan kembali beliau ke wad ICU bagi menerima perhatian rawatan yang lebih teliti.
“Di samping itu, ia juga boleh meminimakan kunjungan orang ramai agar beliau dapat berehat sebaiknya. Situasi terkini adalah stabil dan semakin pulih,” jelasnya.
Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata demikian ketika diminta mengulas status kesihatan Ydp Kuala Nerus itu yang dimasukkan ke HSNZ akibat serangan stroke.
Menurutnya, seluruh ahli PAS Kuala Nerus dipohon untuk mengadakan solat hajat buat YDP dan mendoakan agar beliau dikembalikan kesembuhan agar dapat kembali berkhidmat untuk Islam.
“Bagi pihak PAS Kawasan Kuala Nerus, kami semua mendoakan agar seluruh ahli keluarga Cikgu M Shukrimun Shamsuddin sentiasa bertabah melalui ujian ini,” ujar Ustaz Hishamuddin.