NegeriTerengganu

Wakil Rakyat PAS Gotong Royong Selesaikan Keperluan Nelayan

DUNGUN – Walau tidak semua keperluan golongan ini dipenuhi, tetapi sebahagiannya dapat diselesaikan dan diadakan mengikut kemampuan yang mereka sedia maklum kerana sesungguhnya mewakili rakyat di kawasan Parlimen dan DUN yang berbeza dengaan parti pemerintah memang sangat sukar.

Dalam sebuah negara yang kononnya mengamalkan demokrasi, Malaysia dan kerajaan Terengganu masih pincang kerana tiada peruntukan dari kerajaaan Persekutuan dan Negeri disalurkan kepada wakil rakyat berkenaan.

Tetapi cabaran itu bukan menjadi halangan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan pengundi, apatah lagi golongan yang tersepit dengan tekanan dengan suasana ekonomi sekarang.

Kos kehidupan yang sangat tinggi, hasil pendapatan tidak menentu serta kejatuhan nilai ringgit dipasaran dunia secara langsung menjejaskan golongan berpendapatan rendah terutama nelayan ini. Hampir semua keperluan utama diimport dari luar.

Bagi nelayan di Kampung Bijangga Dungun, kehadiran Ahli Parlimen membantu memberi sedikit bantuan kewangan untuk membaiki jeti persinggahan persendirian, sangat memberi kelegaan kepada mereka.

Lebih menarik lagi kehadiran YB. Ustaz Wan Hassan sendiri bertukus lumus bersama mereka menyiapkan bangsal jeti ini.

Ustaz Wan Hassan yang memang terkenal dengan sikap prihatin kepada rakyat dikalangan pengundi di Parlimen Dungun telah turun bersama-sama sepuluh nelayan tempatan bergotong royong menukar atap bangsal dan dapat menyiapkan jeti tersebut.

Premis kecil itu amat penting kerana ia menjadi persinggahan pertama para nelayan naik ke daratan sebelum memasarkan hasil tangkapan dan pulang ke rumah masing-masing.

‘Bangsal’ itu juga dijadikan surau untuk sekumpulan nelayan dipersekitaran ini.

Turut bersama-sama bermandi peluh, berjemur panas sinaran mentari ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura YB Cikgu Wan Hapandi Wan Nik yang juga ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Dungun.

“Alhamdulilah kami di sini sudah menjadikan amalan biasa bersama gotong royong dalam apa jua menyelesaikan masalah rakyat. Kata orang sama-sama bantu….ringan akhirnya” ujarnya berseloroh.

Ketua Lajnah Asas Tani, Nelayan dan Alam Sekitar PAS Kawasan Dungun, Zakaria Tahir pula mengucapakan tahniah kepada semua yang terlibat, YB Adun, YB Ahli Parlimen dan nelayan tempatan yang terlibat dengan aktiviti ini.

“Insyaallah saya kami akan teruskan aktiviti ini. Kami sudah biasa dengan gotong royong , bahkan hampir semua keperluan mendesak bagi golongan ini banyak kami usahakan dan diselesaikan dengan aktiviti seperti ini” ujar Zakaria.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️