Dua Kebakaran UMT Masih Misteri?
Punca dan kerugian yang ditanggung akibat kedua-dua kebakaran yang berlaku di universiti awam tersebut masih belum didedahkan.
Khamis lalu, satu letupan dilaporkan berlaku di bangunan canselori UMT pada kira-kira jam11.30 pagi lalu, menyebabkan anggota keselamatan terpaksa memindahkan kakitangan dan mengosongkan bangunan terbabit.
Tanpa sebarang laporan rasmi, pihak media dimaklumkan letupan tersebut dipercayai berpunca dari unit pendingin hawa (aircond) di tingkat ketiga, di pejabat naib canselor UMT.
Menurut kakitangan keselamatan, letupan dan kebakaran tersebut telah menyebabkan sebahagian daripada bumbung bangunan terbabit runtuh.
Dalam kejadian tersebut, tiga kenderaan pasukan bomba dan penyelamat dari balai bomba negeri tiba kira-kira 20 minit selepas kejadian kemudian dan 16 anggotanya masuk ke dalam bangunan itu.
Pada kira-kira jam 12.50 petang, ketika seorang pegawai bomba berkira-kira untuk membuat satu kenyataan kepada sekumpulan wartawan yang sedang menunggu, tiba-tiba, satu lagi letupan kecil berlaku, menghasilkan asap hitam tebal yang dilihat muncul dari atas bangunan.
Pada kira-kira jam 1.20 petang, kedengaran bunyi yang kuat seperti struktur runtuh, menyebabkan bomba di tingkat bawah bersurai.
Menurut anggota bomba, bunyi yang kuat itu adalah kerana struktur berbentuk piramid di atas bangunan itu telah runtuh ama sekali.
Dua ambulan Pertahanan Awam yang datang tidak lama kemudian mengambil empat orang, dipercayai anggota bomba, yang mengalami kecederaan semasa kecelakaan itu berlaku.
Sumber dalaman UMT memaklumkan bahawa Naib Canselor tidak ada dan sedang berada di luar negara ketika kejadian berlaku.
Justeru bagaimana unit penghawa dingin dalam biliknya dikatakan punca letupan dan kebakaran.
Makmal Terbakar
Pada 1 Februari tahun lalu, sebuah makmal untuk bidang pengajian alam sekitar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) musnah dalam satu kebakaran yang berlaku pada jam 9.30 malam.
Walaupun tiada kemalangan jiwa berlaku, amat menghairankan kerana kejadian berlaku pada waktu malam, ketika tiada seorang penuntut mahupun kakitangan universiti tersebut berada dalam makmal itu.
Kejadian disedari oleh penuntut jurusan Diploma Perikanan, Muhammad Hafizuddin Md Amin, 19, yang berkata, kejadian itu disedari ketika dia sedang memberi makanan kepada ikan yang dibela di dalam sangkar berhadapan makmal tersebut.
Menurutnya, dia tiba-tiba terbau asap menyangkakan ada orang membakar sampah dan ketika menghampiri kawasan bangunan itu dia ternampak api mulai marak dari bilik makmal yang berada di tingkat dua bangunan itu.
“Saya kemudiannya segera menelefon kawan untuk meminta nombor telefon kakitangan universiti sambil cuba memadamkan api dengan menggunakan hos bomba berhampiran bersama dua lagi senior yang baru tiba.
“Bagaimanapun, tekanan air mulai rendah dan saya terus hubungi bomba untuk bantu padamkan kebakaran itu,” katannya
Selepas kejadian tersebut, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Kamerul Bieza Mohamed Kassim hanya memberikan kenyataan tentang bagaimana pihaknya mendapat makluman dan tindakan menyelamat dilakukan.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi berhubungan kejadian punca dan akibat kebakaran tersebut diumumkan kepada pihak awam.