Home Berita PAS Pusat

2 Kesilapan Besar Rafizi Membuktikan Kejahilannya Tentang Cukai DH

5693
SHARE

2 KESILAPAN BESAR RAFIZI MEMBUKTIKAN KEJAHILANNYA TENTANG CUKAI DH

Oleh: Zaharudin Muhammad Al-Khattabi

(Pengarah Dokumen Hijau)

Saya meneliti ucapan Rafizi dalam youtube (rujuk link 1 dibawah) setelah saya membaca kritikan beliau yang diviralkan di dalam whatsapp dan facebook terhadap cadangan 2 cukai baru di dalam Dokumen Hijau PAS (rujuk link 2 di bawah). Omelan Rafizi di dalam youtube tersebut jelas menunjukkan beliau ‘zero knowledge’ terhadap cukai baru yang dicadangkan oleh PAS sebagai ganti GST. Di sini pihak Dokumen Hijau (DH) ingin menyatakan 2 kesilapan besar beliau melalui komentarnya:

Kesilapan Pertama Rafizi: Cukai Atas Jual Beli Saham

● Pada minit ke 0:30, Rafizi menyatakan bahawa PAS akan mengenakan cukai ke atas transaksi jual beli saham dengan berkata: “…… (PAS) memperkenalkan cukai ke atas transaksi jual beli saham.”

● Pada minit ke 5:27 pula Rafizi menyebut: “Apabila cukai akan dikenakan ke atas transaksi, setiap satu transaksi, bukan atas untung rugi menjual saham, maka yang paling teruk ialah institusi-institusi kerajaan”.

Jawapan DH: Kesilapan pertama Rafizi ialah ; DH tidak pernah menyebut untuk mengenakan cukai atas transaksi sebagaimana gambaran Rafizi. Saya tidak pasti daripada mana beliau dapat formula itu dan di mana beliau belajar sistem cukai Islam mengenakan ke atas transaksi.

Apa yang dinyatakan oleh DH ialah “Penyelesaian 2 Untuk Permasalahan 1: Cukai Saham Di Bursa Saham Malaysia” sebagaimana di muka surat 20 Dokumen Hijau 1 – Sila rujuk link 2 untuk melihat versi asal Dokumen Hijau.

Cukai yang akan dikenakan adalah berdasarkan kaedah-kaedah khusus yang diguna pakai oleh Islam khususnya di dalam pengiraan zakat. Ada yang dikenakan berdasarkan pegangan tetapi bukan pegangan akan dikenakan cukai. Ada yang dikenakan ke atas keuntungan bersih secara one-off tetapi bukan semua keuntungan bersih dikenakan cukai. Di sana juga terdapat syarat-syarat terperinci di dalam menentukan kadar dan bila perlu dikenakan cukai.

Sebagaimana GST disebut secara umum sebagai cukai 6% ke atas jualan tetap secara terperinci, ada GST dikenakan 6% ke atas untung bersih, bukan ke atas transaksi jualan.

Secara terperinci, hanya mereka yang berkepakaran di dalam kiraan cukai Islam sahaja yang tahu sebagaimana kiraan terperinci cukai yang dikemukakan DH ini. Sebagaimana GST boleh digambarkan secara umum sebagai cukai sebanyak 6% atas barangan dan perkhidmatan tetapi secara terperincinya bukan semua barang dan bukan semua transaksi dikenakan GST. Hanya mereka yang berkepakaran dalam bidang ini sahaja yang terdiri daripada pegawai Kastam yang berkenaan dan institusi perakaunan tertentu yang lebih mengetahuinya.

Begitu juga cukai yang dikemukakan oleh Dokumen Hijau ini, ia boleh digambarkan sebagai cukai sebanyak 2.5% ke atas saham orang-orang kaya serta simpanan mereka yang maha banyak, tetapi secara terperincinya bukan semua simpanan dan saham dikenakan cukai mengikut DH. Anggaran kasar pendapatan boleh dibuat kiraan iaitu sekitar 2.5% daripada keseluruhan jumlah yang ada di Bursa dan jumlah simpanan korporat yang direkodkan di Malaysia.

Kesilapan Kedua Rafizi: Kesan Kepada Tabung dan Wang Pelaburan Rakyat

● Pada minit ke 2:57, Rafizi menyebut: “Sebahagian besar saham-saham di Malaysia ini siapa punya? Siapa yang pegang sebahagian besar saham-saham dekat Malaysia ini? Semua dipegang oleh tabung-tabung wang rakyat Malaysia. Sebahagian besar saham ini dipegang oleh KWSP, amanah saham, oleh Tabung haji, oleh kumpulan wang amanah pencen, oleh sokso, oleh lembaga tabung angkatan tentera, oleh bank-bank dan institusi kewangan yang dimiliki oleh kerajaan, oleh lembaga-lembaga milik kerajaan; mereka yang memiliki sebahagian besar daripada saham-saham ini. Maka yang banyak berjual beli ini ialah diorang juga.”

● Pada minit ke 4:40, Rafizi menyebut: “Jika dikenakan cukai Islam maka dividen 5% tinggal 1% sahaja”.

Jawapan DH: Komen Rafizi ini sekali lagi jelas menunjukkan beliau mempunyai “zero knowledge” tentang sistem percukaian Islam. Formula yang diguna pakai dalam komen beliau ialah formula konvensional, bukan formula Islam.

Kita menggunapakai kaedah “tidak boleh diceraikan antara modal yang bergabung” (لا تفرق بين المجتمعات) sebagaimana hadis yang menjadikan pembayar utama cukai ini ialah penerima pelaburan atau dengan kata lain, pemegang-pemegang utama saham syarikat-syarikat besar seperti Maxis. Maka pembayar utamanya adalah Ananda Krishnan, bukan pengguna maxis atau sumber pelaburan seperti PNB dan pelabur-pelaburnya.

Melalui cukai yang dicadangkan oleh Dokumen Hijau ini juga, Ananda tidak akan dapat memindahkannya (hand over) kepada pengguna apabila dilaksanakan konsep ‘Haul’ dalam formula pengiraannya. Sekaligus cukai yang tersembunyi yang dibayar oleh pengguna Maxis yang terdiri darpada pengguna miskin dan sederhana, akan dibayar selepas ini oleh Ananda Krisnan sendiri, bukan dipindahkan kepada pengguna secara tersembunyi dan tidak disedari.

Formula ‘tidak boleh diceraikan antara modal yang bergabung (TBCMB) akan menjadikan pencarum-pencarum ASN, FGV dan lain-lain mungkin hanya akan menerima kesan sebanyak 0.3% sahaja daripada 5%, bukan dividen 5% tinggal 1% sebagaimana digambarkan oleh Rafizi.

Cukai 0.3% yang pada kebiasaannya adalah wang lebihan milik palabur adalah jauh lebih baik daripada 10% cukai SST yang tersembunyi dalam harga barang yang dibayar daripada wang perbelanjaan dan keperluan rakyat. Cukai 0.3% itu juga jauh lebih baik daripada 300% cukai kereta (levi, eksais dan lain-lain) yang akan dinaikkan oleh kerajaan PH sebagaimana yang disebutkan oleh Tun Mahathir.

GST yang dilaksanakan oleh BN dan SST serta kenaikan cukai-cukai lain bagi menampung kehilangan akibat penghapusan GST yang dicadangkan oleh Tun Mahathir, kedua-duanya dibayar oleh wang perbelanjaan asasi rakyat dan golongan 1% yang menjadi taiko-taiko bisnes Malaysia seperti Robert Kuok yang memilik sekitar Rm60 bilion, Ananda krishnan yang memiliki sekitar RM18 biliion dan golongan korporat seumpamanya seperti Mokhzani Mahathir dan lain-lain; pada hakikatnya tetap tidak akan membayar cukai hasil perniagaan mereka.

Justeru cukai-cukai mereka akan dipindahkan kepada pengguna dan pembeli melalui kemasukan cukai ke dalam harga barang. Tetapi formula yang akan digunapakai oleh DH mengunakan formula TBCMB, haul dan lain-lain, maka yang akan kena bayaran pada hakikatnya ialah golongan 1% taiko-taiko ini, bukan 99% rakyat yang mengguna barangan dan perkhidmatan mereka.

Sebagai tambahan, beliau menggambarkan bahawa cukai itu dikenakan ke atas wang rakyat atas alasan institusi-institusi milik kerajaan ini adalah wang rakyat. Blind spot (bahagian terlepas pandang) yang paling ketara dalam kenyataan Rafizi ini ialah pengguna dan pemanfaat utama wang-wang rakyat ini ialah golongan 1% tersebut.

PNB yang memegang sebanyak RM199.1 bilion atau 10% saham di Bursa Kuala Lumpur sebagai contoh perlu juga dilihat dari aspek penerima pelaburan, bukan pelabur sahaja. Dari segi pelabur, lebih 40% sahamnya adalah saham kerajaan yang terdiri daripada wang cukai-cukai yang dipaksa bayar oleh kerajaan ke atas rakyat (termasuk GST) dan lebih 50% lagi adalah duit-duit pelabur sukarela yang terdiri daripada rakyat-rakyat bawahan. Wang rakyat yang diambil secara paksa (40%++) dan sukarela (50%++) ini dilaburkan oleh kerajaan ke dalam syarikat-syarikat yang dimiliki oleh golongan terkaya 1% seperti Maxis, Gamuda, IJM, RHB, Digi dan lain-lain.

Maka jika sesiapa dapat memahami cukai DH ini secara lebih halus, mereka akan faham bahawa wang rakyat itu akan dipusing sebahagian alirannya daripada golongan 1% rakyat terkaya kepada golongan termiskin di kalangan B40.

Sebagai terakhirnya, saya ingin mengulas kata-kata bongkak Rafizi yang seterusnya…..

● Pada minit ke 6:15, beliau menyatakan bahawa beliau “pakar cukai ini” sambil menunjukkan jari ke hidungnya seolah dia adalah pakar dalam bidang cukai.

Apa yang ingin saya tegaskan di sini bahawa, pengajian tentang cukai Islam tidak berlaku secara formal dan bersilibus pada hari ini sekalipun sistem cukai Islam yang lengkap terdapat di dalam kitab-kitab fekah. Maka mustahil Rafizi boleh menjadi pakar cukai Islam seolah-olah ‘Ulamak mujtahid’ justeru tiada pengajian cukai Islam disediakan di dalam silibus-silibus pengajian di fakulti ekonomi di mana-mana universiti awam tempatan mahupun Eropah atau Amerika Syarikat.

Dua kesalahan besar Rafizi di atas sudah cukup membuktikan bahawa beliau bukan sahaja bukan pakar, tapi sangat jahil tentang cukai Islam serta formula-formulanya.

Zaharudin Muhammad Al-Khattabi,
Pengarah Dokumen Hijau, PAS.

Video Ucapan Rafizi:-
Link 1: https://www.youtube.com/watch?v=fGGl4rIOWEY&feature=youtu.be

Link 2: http://pas.org.my/dokumen-hijau

Like dan Share:
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1860054720691621&id=312456128784829