Home Berita PAS Kelantan

19 tahun pemergian Ustaz Fadzil – YB Abdul Latiff

196
SHARE
Masih kejap di ingatan saya sehingga ke hari ini Kata-kata akhir Ustaz Fadzil semasa ucapan penggulungan Almarhum di Muktamar Pas kali ke 48 pada 2 Jun 2002 di PUTIK.
Waktu itu jam sudah pun menunjukkan pukul 6 petang.
Almarhum membaca ayat:
(وَمَا تِلۡكَ بِيَمِينِكَ يَٰمُوسَىٰ. قَالَ هِيَ عَصَايَ أَتَوَكَّؤُاْ عَلَيۡهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِي وَلِيَ فِيهَا مَـَٔارِبُ أُخۡرَىٰ).
“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?”
Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”. [Surah Ta-Ha, Ayah 17-18].
Almarhum mengulas panjang berkaitan ayat ini. Sebagai seorang yang kasihkan kawan-kawannya khususnya dalam perjuangan Islam, terasa amat sukar untuk menghentikan ucapan, terasa ingin panjangkan lagi sebagaimana kisah Nabi Musa AS yang menerima soalan pendek daripada Allah ‘Azza Wa Jalla iaitu apa benda yang ditangan kananmu wahai Musa?
Meskipun jawapan yang diberikan agak panjang, bukan setakat menyatakan ianya tongkat, tetapi menghuraikannya dengan panjang lebar fungsi tongkat berkenaan.
Almarhum menyatakan jika tidak kerana masanya telah suntuk, para perwakilan telah bersedia untuk balik ke kawasan masing-masing, bahkan ada yang telah menempah tiket penerbangan, ingin saja memanjangkan lagi ucapan penggulangan ini kerana terasa sayang untuk berpisah dengan para perwakilan sekelian.
Itulah ucapan rasmi terakhir Almarhum Ustaz Fadzil di dalam muktamar sekaligus menjadi ucapan perpisahan kepada para pejuang Pas.
Selepas itu beliau dimasukkan ke IJN dan meninggal dunia pada 23 Jun 2002.
Hari ini, 23 Jun 2021, genap 19 tahun pemergian almarhum Ustaz Fadzil.
رحم الله الشيخ فاضل رحمة واسعة، وأسكنه فسيح الجنان مع النبيين والصديقين والشهداء والصالحين.
YB Abdul Latiff Abdul Rahman
Ahli Parlimen Kuala Krai
Nota: Gambar diambil di Hotel Al-Rasheed, Baghdad sewaktu almarhum bersama Al-Fadhil Dato’ Ustaz Hashim Jasin (Mursyidul Am sekarang) menghadiri Persidangan Gerakan Islam Antarabangsa pada tahun 1993. Saya yang baru berada ditahun 2 pengajian cukup rasa bangga apabila dijemput masuk bersama delegasi Malaysia ke dalam dewan persidangan.