Home Artikel PAS Sarawak

Perutusan Hari Raya Aidiladha 1440H daripada Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak 2019/2021

61 views
SHARE
PENGORBANAN DI SEBALIK AIDILADHA
بسم الله الرحمن الرحيم 
الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد
Alhamdulillah, selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW dan setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Iman, Islam dan Ehsan sehingga ke hari ini.
Hari ini tanggal 10 Zulhijjah 1440 Hijrah merupakan hari yang sungguh bermakna bagi semua umat Islam seluruh dunia kerana di masa inilah kita berkumpul bersama keluarga dan saudara bagi menyambut Aidil Adha atau Hari Raya Korban.
Sambutan Aidil Adha juga merupakan hari bagi seluruh umat Islam mengagungkan asma Allah dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih serta menegakkan syiar Islam dengan melaksanakan ibadah korban bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Kehadiran Aidil Adha sentiasa mengingatkan kita tentang peristiwa Nabi Ibrahim a.s. yang diuji oleh Allah SWT dengan perintah menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail a.s. sebagaimana yang terakam dalam surah as-Saffat, ayat 102 yang bermaksud: “Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab: “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; dengan kehendak Allah, engkau akan mendapatiku termasuk dari kalangan orang yang sabar.”    
Ketaatan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dalam melaksanakan perintah Allah jelas menunjukkan betapa teguhnya keimanan mereka terhadap Allah SWT. Peristiwa pengorbanan ini memberi makna yang amat besar kepada seluruh umat Islam dan ia memperlihatkan secara jelas sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah yang sanggup melakukan apa sahaja demi menegakkan syiar Islam.
Kesanggupan Nabi Ibrahim a.s. menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. bukan semata-mata didorong oleh perasaan taat setia secara membuta tuli, sebaliknya ia didorong oleh keyakinan bahawa perintah Allah SWT tersebut merupakan suatu yang harus dipatuhi dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.
Begitu juga dalam konteks kita di zaman serba moden ini, masalah umat seperti fitnah,LGBT, pembuangan anak luar nikah berleluasa di seluruh negara. Pelihara keimanan kita dan keluarga kita, nescaya kita tidak akan tersimpang dari larangan-larangan Allah swt. Fahamilah dan pelajarilah larangan dan perintah-perintah Allah di dalam alQuran. InsyaAllah kita tidak mungkin merasa berat untuk melaksanakannya seperti ikhlasnya Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s dalam menuruti perintah Allah. 
Penyembelihan binatang korban merupakan ibadah sunat yang sangat dituntut di dalam Islam dan harus dilaksanakan oleh mereka yang mampu sebagaimana yang dinukilkan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Kautsar, ayat 1-2 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) nikmat yang banyak (antaranya sungai al-Kautsar di syurga), maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah binatang korban (kerana mensyukuri nikmat-nikmat-Nya)”.
Pelaksanaan ibadah korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat kurniaan-Nya. Selain itu, ibadah korban juga dapat melatih umat Islam agar dapat mengikis sifat tamak dan bakhil dalam mengeluarkan harta serta melahirkan sifat murah hati untuk membelanjakan harta ke jalan Allah SWT demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti golongan fakir dan miskin.  
Semangat berkorban ini harus disuburkan dalam diri kita dan seluruh anggota masyarakat, yakni semangat untuk memberi dan bukan menerima yang seharusnya menjadi sebahagian daripada budaya hidup kita. Semangat tangan di atas dan bukan tangan di bawah inilah yang sewajarnya diterapkan dan menjadi sifat utama orang-orang yang bertakwa yang sentiasa berinfaq baik dalam keadaan lapang mahupun sempit.       
Aidil Adha merupakan masa yang tepat untuk kita mendalami makna di sebalik ibadah haji yang melambangkan kebersamaan dan kesatuan umat. Hikmah ibadah haji adalah cukup indah, yakni proses pentarbiahan kita tentang solidariti sosial, ukhuwah Islamiyah, perdamaian, kesucian, kebersihan, serta kepedulian terhadap umat Islam yang lain melalui pengagihan sembelihan korban.
Syariat berkorban menegaskan bahawa umat Islam memiliki empati dan simpati antara sesama insan, memperkukuh dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT serta mengeratkan hubungan sesama manusia yang secara jelas memperlihatkan penegasan bahawa kebersamaan adalah nilai keutuhan umat.
Oleh itu, ibadah korban merupakan bentuk pengorbanan yang bertitik tolak daripada kesedaran tentang nilai-nilai luhur terutamanya dalan hal-hal yang berkait rapat dengan perjuangan menghindari sifat ego dalam diri sendiri. Setiap daripada kita perlu menyedari bahawa semua umat Islam adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah ketakwaan kepada Allah SWT. Justeru, hanya generasi yang bertaqwa sahaja mampu memimpin umat untuk bersatu hati. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujjurat, ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.
Salam AidilAdha 1440 Hijrah daripada seluruh Kepimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak kepada ahli Dewan Muslimat PAS Kawasan-kawasan, muslimin dan muslimat  di Sarawak serta semua rakyat Malaysia khasnya yang diingati lagi dikasihi yang sentiasa berjuang dan berkorban demi jihad menjulang Islam di peringkat yang tertinggi. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita. Ameen.
Islam Memimpin, Wanita Sejahtera
الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد
Ikhlas daripada,
Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak