KUALA KRAI, 20 Dis: Seramai 166 penduduk yang terjejas dengan pandemik COVID-19 di jajahan Kuala Krai menerima kurniaan Bantuan Prihatin Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang telah berlangsung di Masjid Bandar An-Nur, Guchil baru-baru ini.
Bantuan berupa wang tunai dan bekalan makanan itu dikurniakan oleh Yang Dipertua MAIK, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz bersama Yang Mulia, Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman.
Penyerahan Bantuan Prihatin MAIK ini adalah bagi membantu serta meringankan beban rakyat yang terkesan dengan suasana negara yang masih lagi berdepan dengan krisis pandemik COVID-19.
Dalam satu kenyataan lain, MAIK mengharapkan dengan sumbangan daripada penyumbang sebelum ini, dapat memberi sedikit kelegaan dan kesenangan kepada rakyat yang menerima sumbangan tersebut.
Dalam masa sama juga, MAIK menzahirkan jutaan terima kasih kepada semua pembayar zakat dan penyumbang kerana dengan harta yang diinfakkan itu dapat menggembirakan insan yang memerlukan.