Home Berita PAS Pahang

Beg serat anyaman percuma sokong Kempen Bebas Beg Plastik di Indera Mahkota

150
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 18 Feb :: Umum mengetahui bahawa plastik merupakan bahan tertinggi penyumbang kepada sisa pepejal di dunia.

Penggunaannya dalam jangka masa panjang akan menyumbang kepada beberapa masalah alam sekitar dan memberi kesan buruk terhadap hidupan di darat dan lautan.

Bertepatan untuk menyahut Kempen Bebas Beg Plastik Negeri Pahang yang bermula pada tahun ini, Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu mengambil inisiatif mengedarkan beg serat anyaman (woven fibre) secara percuma di pasaraya terpilih.

“Saya nak edarkan percuma kepada pelanggan di pasaraya terpilih bermula hari Ahad ini, sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan ahli masyarakat tentang penjagaan alam sekitar.

“Beg ini besar, cukup tebal, dan tahan lama, boleh digunakan untuk mengisi barangan keperluan yang dibeli di pasar basah, pasar mini atau pasaraya,” ujar Andansura.

Menurut beliau lagi, edaran beg ini akan dibuat secara berperingkat ke pasar mini dan pasaraya seterusnya di sekitar DUN Beserah dan DUN Semambu untuk diberikan kepada para pelanggan masing-masing.

“Terpulang kepada pasaraya bagaimana untuk mengagihkannya, mungkin kepada kumpulan pelanggan terawal, siapa cepat dia dapat.

“Kita akan mulakan di Pasaraya Irsyad Balok, jam 9.30 pagi dan Pasaraya Smart, Semambu sekitar jam 12.30 tengahari pada hari tersebut,” tambah beliau lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang berharap dengan usaha serta kempen kesedaran ini dapat memberi dorongan kepada pihak-pihak lain untuk menjayakan kempen seumpama ini, demi penjagaan alam sekitar dan menjadi amalan norma baharu, malah menjadi budaya masyarakat di Malaysia.