Home Artikel PAS Pusat

10 Tuntutan Ekonomi Rakyat Tahun 2020

603
SHARE

10 Tuntutan Ekonomi Rakyat Tahun 2020

1. Penuhi kuota 1.7 juta perjawatan awam dan jana peluang pekerjaan

Jumlah perjawatan awam yang telah diisi ialah 1.57 juta (92 peratus) daripada jumlah sebenar keseluruhan 1.7 juta. Tidak perlu merasionalisasi saiz perjawatan awam untuk mengurangkan Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Persekutuan. Keadaan ekonomi yang perlahan memerlukan penjanaan pekerjaan yang lebih banyak. Seramai 51,000 graduan masih menganggur selepas setahun tamat pengajian dan lebih kurang 25,000 pekerja swasta telah diberhentikan. Rakyat menunggu 350,000 kerja di bawah inisiatif MalaysiaKerja.

2. Pertumbuhan dan permulaan gaji lebih tinggi

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar penengah dan purata bagi gaji serta upah bulanan pekerja masing-masing meningkat 6.6 peratus dan 7.0 peratus. Namun begitu, gaji pokok bulanan bagi pekerja tanpa pengalaman menurun sekitar 0.1 peratus hingga 1.0 peratus. Gaji benar graduan Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian pada tahun 2010 ialah RM2,288, menurun kepada RM2,169 pada tahun 2018. Rakyat mengharapkan pertumbuhan gaji lebih besar selaras dengan tekanan kos sara hidup yang cukup membebankan.

3. Pulih prestasi tabungan awam

Dalam tempoh 12 bulan Pakatan Harapan mentadbir negara, prestasi tabungan awam lemah ekoran ketidaktentuan dalam pasaran modal, ‘impairment losses’ dan ketidakjelasan polisi ekonomi Kerajaan Persekutuan. Hibah Tabung Haji, dividen LTAT, dividen ASB dan dividen KWSP diharap lebih baik selepas fasa ‘corrections’ yang telah dilakukan selama ini. Penjualan aset-aset strategik perlu diteliti agar tidak berlaku usaha mensabotaj untuk melemahkan pegangan ekuiti majoriti rakyat Malaysia.

4. Kawal harga makanan

Indeks Harga Pengguna November 2019 meningkat 0.9 peratus daripada 121.0 kepada 122.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Faktor kenaikan indeks antaranya berpunca daripada sub indeks Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (1.5 peratus). Tiada pilihan lain sama ada memastikan rantaian bekalan makanan cukup, tidak dimanipulasi kartel atau tingkatkan kuasa beli rakyat. Bil import makanan telah mencecah RM54 bilion manakala eksport RM35 bilion pada tahun 2018. Defisit perdagangan makanan telah membengkak sehingga RM18 bilion (2018).

5. Kawal harga rumah

Banyak inisiatif dan kempen pemilikan rumah pertama telah diteruskan sehingga akhir tahun 2020. Indeks Harga Rumah di Malaysia menunjukkan peningkatan bagi semua jenis rumah. Ia telah meningkat 1.7 mata pada Suku Kedua 2019 (194.8) berbanding Suku Kedua 2018 (193.1). Pembinaan rumah mampu milik mesti lebih berobjektif bagi mengelakkan ‘overhang’. Penurunan had ambang kelayakan pembeli warga asing kepada RM600 ribu membuka ruang spekulatif lebih luas.

6. Bendung risiko kenaikan tarif elektrik

Ketegangan geopolitik dan prospektus perang semakin kritikal. Harga minyak mentah dan gas bagi WTI dan Brent melonjak naik sehingga 3 peratus ekoran tentera Amerika membunuh Jeneral Qassem Soleimani beberapa hari lalu. Jika situasi ketegangan ini berterusan, tidak mustahil tarif elektrik bagi pengguna komersial dan industri khususnya akan meningkat bagi Separuh Kedua tahun 2020. Walau bagaimanapun, pengguna domestik mengharapkan tarif elektrik kekal sehingga akhir tahun berdasarkan mekanisme ‘Incentive Based Regulations’.

7. Kekal tarif air

Ura-ura kenaikan tarif air akan berlaku pada Suku Pertama 2020. Hampir semua negeri bersetuju untuk menaikkan tarif meskipun dikatakan tidak membebankan. Kenaikan antara 0.06 sen hingga 0.71 sen setiap 1,000 liter. Rakyat Selangor khususnya pasti marah jika kenaikan tersebut dituruti dengan gangguan bekalan air yang berpunca daripada pencemaran sisa toksik daripada pihak industri yang tidak bertanggungjawab. Tambahan pula, tidak semua lagi rakyat Selangor menikmati air percuma 20 meter padu.

8. Pulang semula keistimewaan PTPTN

Tiada apa-apa peruntukan mengenai PTPTN pada tahun 2020. Rakyat masih menunggu hasil Kertas Konsultasi Rakyat untuk mekanisme baharu PTPTN. Rakyat tidak mahu terbeban dengan pinjaman pendidikan tinggi. Pergantungan rakyat kepada PTPTN harus dikurangkan secara berperingkat. Kerajaan harus fikirkan pengecualian 100 peratus kos yuran pendidikan tinggi. Jika Kerajaan boleh menanggung subsidi penuh yuran pendidikan tinggi, rakyat tidak akan tanggung kos lebih besar.

9. Beri subsidi petrol

Program Subsidi Petrol diumumkan dalam Belanjawan 2019. Namun sehingga kini gagal dilaksanakan walaupun kontrak RM25 juta telah dianugerah kepada GHL awal tahun 2019 lalu. Cadangan subsidi seringgit sehari tidak praktikal dan pada masa yang sama harga runcit dilepaskan berperingkat mengikut harga pasaran global. Tidak cukup hanya ditangguh, Kerajaan Persekutuan perlu menstabilkan harga runcit petrol. Tambahan pula, Ringgit Malaysia telah jatuh ke paras RM4.09 berbanding Dollar Amerika.

10. Turun kadar tol, tolak konsesi swasta

Jangan dijual PLUS kepada pihak swasta. Apa guna jika kadar diturunkan tetapi konsesi dilanjutkan? Mengapa PLUS milik negara (Khazanah dan KWSP) mahu dijual tetapi lebuh raya milik GAMUDA mahu dibeli? Kerajaan bukan mahu hapus tol sebaliknya mengenakan caj kesesakan untuk membiaya terbitan bon untuk membeli GAMUDA. Kerajaan untung tidak perlu bayar pampasan, GAMUDA untung konsesi telah dibeli dan boleh mulakan projek di Pulau Pinang, tetapi rakyat terus dimangsakan dengan caj baharu.

MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
Analisis Media
Jabatan Penerangan PAS Pusat