Home Berita PAS Pahang

Ziarah wakil rakyat adalah terapi bagi pesakit

169
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 31 Okt. :: Empat buah rumah di Kampung Beserah disantuni oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Andansura Rabu sebagai rutin mingguan beliau bersama pasukannya baru-baru ini.

“Ziarah rutin ini untuk memberi rangsangan dan semangat serta bertanya khabar dan memberikan apa saja pertolongan yang kita mampu untuk bantu mereka terutama sekali dari sudut kesihatan, rawatan perubatan dan juga kewangan.

“Maka kita harap kita dapat meringankan bebanan mereka dengan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak Majlis Agama Islam melalui zakat.

“Kita akan bantu seberapa daya untuk mereka yang terkesan ini supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dan dapat menerima rawatan tanpa sebarangan halangan berkaitan dengan kewangan,” ujarnya lagi.

Keluarga yang diziarahi adalah Alwi Ali di Kampung Darat Sekolah yang sakit akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk Solat Jumaat di Masjid Jamek Beserah yang berhampiran dengan rumahnya.

Akibat dari kemalangan tersebut, berlaku kecederaan di tulang belakangnya menyebabkan beliau terlantar di atas katil pesakit yang dibekalkan oleh PAS Cawangan Beserah Tengah.

“Saya sangat terharu YB Andan datang menziarahi saya, memberi nasihat dan kata-kata rangsangan supaya saya kuat dan sabar dengan dugaan ini,” kata Alwi dengan nada terharu.

“Katil pesakit yang saya gunakan sekarang sangat membantu ahli keluarga saya untuk menguruskan saya. Saya sangat-sangat berterima kasih dengan bantuan yang diberikan,” tambahnya lagi.

Ziarah berikutnya di rumah Mohd Nasir Mansor di Kampung Alor Ladang, pesakit kanser paru-paru yang telah mendapat rawatan di Hospital UIA Kuantan, Mahani Salleh isteri kepada Pengerusi KRT Taman Beserah (Jalil Hamzah), pesakit jantung yang belum pulih sepenuhnya dan masih dalam rawatan doktor.

Sementara itu sepasang suami isteri Ahmad Abu Bakar dan Kamsiah Sapian kedua-duanya diuji dengan sakit. Ahmad telah tiga bulan tidak bekerja kerana sakit saraf dan isterinya pula patah tulang buku lali kerana terjatuh di rumahnya di Kampung Batu Hitam.

Buat sementara ini sara hidupnya menggunakan sedikit simpanan yang ada dan mengharapkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat yang akan diuruskan oleh YB Andansura.

Ketua Cawangan PAS Beserah Tengah Mohamed Hafizi Abdul Hamid melahirkan rasa bersyukur dan teruja di atas kunjungan prihatin Andansura kepada penduduk di cawangannya yang sudah pasti dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara rakyat dengan pemimpinnya.

Selain dari Andansura dan pasukannya, turut serta adalah Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Beserah Tengah, juga Ketua Muslimat Cawangan Beserah Tengah Asmah Awang dan ahli jawatankuasanya.

:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::