Home Artikel PAS Pusat

Ziarah Sidang Assabiqun PAS Ke Acheh Capai Matlamat

251 views
SHARE

Kembara Assabiqun PAS Pusat ke Acheh seramai 22 orang yang diketuai oleh Tuan Haji Subki bin Latif selaku Pengerusi Assabiqun dan YB Ustaz Dato’ Abdullah bin Yaakob, Speaker DUN Kelantan merangkap Pengerusi Assabiqun PAS Kelantan telah berjaya dilaksanakan dan telah tiba di Malaysia pada 9 Februari 2018.

Kembara yang dianjurkan oleh Sidang Assabiqun PAS Pusat ini adalah merupakan program yang pertama Assabiqun sejak ianya dilancarkan pada akhir tahun yang lalu.

Matlamat program kembara ini diadakan adalah bertujuan untuk melihat perkembangan di Acheh selepas berlakunya Tsunami pada tahun 2004 dan melihat sendiri bagaimana Acheh melaksanakan Undang-undang Syariah serta kesannya kepada masyarakat.

Sepanjang lawatan yang diadakan selama 4 hari ini Sidang Assabiqun telah berjaya mengadakan pertemuan rasmi dengan beberapa pihak di sana iaitu Universitas Islam Negeri Ar-Raniry (UIN Ar-Raniry), Dinas Syariah Acheh dan Kantor Gabenor Acheh.

Di UIN Ar-Raniry, rombongan telah disambut oleh Rektornya Prof Dr Farid Wajdi Ibrahim dan para pegawai kanan yang mengiringinya. Dr Farid Wajdi telah memberikan penerangan tentang sejarah perkembangan Acheh dan perkembangan UIN dalam membina pembangunan pendidikan khususnya dalam bidang Agama Islam dan Tamadun Acheh.

Manakala di Pejabat/Kantor Gabenor Acheh, Bapak Mulyadi Nordin, Kepala Biro Masyarakat, Bapak T. Syakir dan Bapak Rodhi, Biro Ekonomi dan Pembangunan telah menerima rombongan mewakili Gabenor Dr Irwandi Yusuf yang sedang dalam urusan kerajaan di Singapura. Perbincangan dua hala telah berlangsung secara harmoni dengan kedua-dua pihak memberikan pandangan dan idea untuk mencari titik pertemuan yang mampu membina perkembangan Islam di Acheh dan di Malaysia.

Selain itu, kami telah di bawa mengunjungi beberapa tempat bersejarah dan kesan peninggalan Tsunami yang melanda Acheh pada penghujung tahun 2004. Di antara yang telah dilawati adalah Museum Utama Acheh, Makam Sultan Iskandar Muda di Guntingan, Kapal Kayu di atas rumah di Lampulo, Museum Tsunami, Masjid Rahmatullah, perkuburan mangsa Tsunami di Lambaro, Masjid Baiturrahman dan Rumah Anak Yatim Nurul Huda.

Turut hadir dalam rombongan ini ialah Haji Razman bin Zakaria (Bendahari PAS Pusat), YB Ustaz Abdullah bin Hussin (PJ Johor), Ketua Sidang Assabiqun Muslimat PAS Pusat (Puan Hajah Khadijah binti Mahmud) dan AJK Assabiqun PAS Pusat.

Kunjungan ini telah berjaya mencapai hasrat yang diharapkan dan Sidang Assabiqun PAS akan menjadikan program ini sebagai program berkala bagi memberi peluang kepada para Ahli Assabiqun di seluruh negara untuk melihat dan merasai keindahan Islam dalam pemerintahan kerajaan Acheh.

Sekian. Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Setiausaha Sidang Assabiqun PAS Pusat
9 Februari 2018