Ziarah Mahabbah Dewan Muslimat PAS Malaysia santuni mantan calon muslimat & calon DHPP di Johor
Johor Bahru: Pada hari Ahad,1 Julai 2018 bersamaan 17 Syawal 1438H,Dewan Muslimat PAS Negeri Johor telah dikunjungi oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia ,Ustazah Hjh.Nuridah Binti Mohd.Salleh bersama beberapa wakil AJK DMPM bertemu mantan calon muslimat dan mantan calon wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP).
Kedatangan delegasi Dewan Muslimat PAS Malaysia disambut oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor, Puan Hjh.Atiah Ahmad dan saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Johor dengan penuh rasa gembira dan terharu.
Kunjungan mahabbah DMPM bertepatan dengan 17 Syawal ini diraikan dengan penuh terharu dan gembira oleh seramai 5 orang calon wanita di Johor kerana rasa dihargai oleh jamaah.
Berikut adalah calon muslimat dan calon wanita DHPP di Johor dalam PRU ke 14:
Calon Parlimen Tenggara (Yuhanita Yunan),
Calon DUN Pemanis(Normala Sudirman)
Calon DUN Johor Lama(Puan Siti Zaharah Othman) dan Calon DUN Johor Jaya(Kumutha A/P Rahman) serta calon DUN Larkin(Puan Zakiah Tukirin).
Dalam perkongsian mutiara tazkirah ,Ustazah Hjh Nuridah Mohd Salleh mengharapkan agar semua mantan calon terus kuat semangat dalam menongkah arus perjuangan di samping terus beristiqamah selari dengan dasar perjuangan PAS berlandaskan syariat Islam.
Setiap mantan calon juga diberi peluang berkongsi pengalaman secara santai pengalaman masing -masing ketika Pilihanraya Umum(PRU) kali ke 14 yang lalu.Suasana disulami dengan pelbagai riak wajah antara nada ceria dan sebak bila sesekali mantan calon berkongsi pengalaman masing -masing ketika menggalas cabaran sepanjang PRU 14 .
Di penghujung majlis ,beberapa keputusan dan resolusi telah dibuat untuk semua mantan calon menjadi *DUTA PAS* agar terus berada di gelanggang masyarakat dengan terus menyantuni rakyat tanpa bermusim melalui kerja kebajikan kerana ini adalah medium dakwah supaya PAS terus membawa obor perjuangan dan terus berbakti kepada ummah.