Home Berita PAS Melaka

Ziarah kasih PJ PAS Melaka dan Adun Kuala Linggi kukuh semangat MN

565
SHARE

Oleh ZUL SHAM MAHAT

MASJID TANAH, 22 Mac : Ziarah kasih asnaf penduduk DUN Kuala Linggi oleh Pesuruhjaya (PJ) PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek bersama ADUN Kuala Linggi, YB Datuk Wira AR Ismail Othman membuktikan bahawa Muafakat Nasional (MN) masih relevan dan terus diperkasakan.

Terdahulu ketika meraikan kedatangan Ustaz Kamarudin serta rombongan di kompleks Japerun DUN Kuala Linggi, Ismail memberitahu selepas ini bantuan serta sumbangan kepada asnaf ini akan diperluaskan lagi mengikut keperluan semasa.

“Kita minta kerjasama antara PAS dan Umno diteruskan dan bantuan dalam bentuk kit-kit makanan yang lebih besar akan diagihkan untuk asnaf-asnaf dalam DUN Kuala Linggi.

“Selain tu kita juga akan mengadakan jualan barangan keperluan dengan harga borong selama dua hari di Pekan Kuala Sungai Baru,” ujar Ismail lagi.

Beliau yang juga merupakan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna menambah, beberapa jenama pasar raya yang besar seperti Family Store dan NSK turut dipelawa dalam program ini.

“Penduduk sekitar DUN Kuala Linggi boleh datang untuk memberi belah,” tambah beliau.

Ustaz Kamarudin dalam ucapan balasnya pula berharap agar hubungan antara PAS dan UMNO ini dapat diteruskan.

“Saya berharap hubungan antara PAS dan UMNO terus diperkukuhkan lagi lebih-lebih lagi pilihan raya semakin hampir,” ujar beliau.

Seramai 10 orang asnaf yang dikenalpasti telah menerima sumbangan daripada rombongan PAS Kawasan Masjid Tanah serta Jawatankuasa Pilihan Raya Dun (JPrD) PAS Kuala Linggi dan juga Umno Kuala Linggi yang berlangsung di sekitar DUN ini semalam.

Turut serta dalam program Ziarah Kasih yang berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari ini ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman, Penghulu DUN Kuala Linggi, Aszahari Razak, Pengarah JPrD PAS Kuala Linggi, Ustaz Azmi Sambul dan lain-lain pimpinan PAS dan Umno tempatan.