Bandar Tasik Kesuma, 23 Mei – Keprihatinan terhadap golongan MOSWAY (Miskin, OKU, sakit, warga emas, armalah dan yatim) mendorong HALWA DUN Semenyih untuk mengadakan ziarah Jalinan Kasih Mesra Prihatin di Bandar Tasik Kesuma hari ini.
Sambil membawa sumbangan berupa keperluan harian, rombongan HALWA DUN Semenyih meluangkan masa mendengar luahan rasa dan memberi kata semangat kepada golongan MOSWAY yang diziarahi.
“Selain sumbangan barang keperluan, sokongan moral juga adalah amat bermakna buat mereka. Untuk armalah, kita beri semangat untuk teruskan kehidupan dengan tabah serta redha. Untuk yang sakit kita beri galakan untuk terus membuat rawatan tanpa putus asa dan berdoa serta bertawakal kepada Allah. Untuk balu yang masih dalam edah, redha atas pemergian, penuhi masa dengan beribadah dan mendoakan arwah suami yang telah pergi menghadap Ilahi”, ujar Puan Siti Safura Binti Mohd Isa yang mengetuai ziarah kali ini.
Ziarah Jalinan Kasih Mesra Prihatin adalah aktiviti bulanan HALWA DUN Semenyih sebagai manifestasi kebersamaan dan keprihatinan PAS terhadap masyarakat.
A Ali