Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur al Quran Surah al Waqiah Siri 20

6462
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 20

Ayat: 68-70 : Air Sumber Kehidupan Sebagai Bukti Kasih Sayang Allah

? Firman Allah serta terjemahannya:

أَفَرَأَيْتُمُ الْمَاءَ الَّذِي تَشْرَبُونَ – ٦٨

Maka terangkanlah kepadaku tentang air yang kamu minum

أَأَنْتُمْ أَنزلْتُمُوهُ مِنَ الْمُزْنِ أَمْ نَحْنُ الْمُنزلُونَ – ٦٩

Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah Kami yang menurunkannya?

لَوْ نَشَاءُ جَعَلْنَاهُ أُجَاجًا فَلَوْلا تَشْكُرُونَ – ٧٠

Kalau kami kehendaki nescaya kami jadikan ia masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur?

? Tafsir ringkas:

1. Seterusnya Allah SWT mencabar golongan yang engkar untuk beriman dengan hari Qiamat agar menjawab beberapa persoalan tentang air pula. Air yang mereka minum selama ini untuk meredakan dahaga mereka.

2. Persoalan-persoalan tersebut itu sebenarnya satu perintah untuk kita merenungi kembali pemberian nikmat daripadaNya agar kita sedar diri bahawa kita hanyalah hambaNya. Allah menyeru agar kita:

i. Memerhati air yang kita minum, daripada air laut yang menjadi wap naik ke awan, lalu menurunkan hujan turun ke tanah, tumbuhan dan tasik, mengalir ke sungai yang menjadi bekalan air keperluan seharian.

ii. Akur bahawa Allahlah yang menurunkan hujan dari awan.

iii. Muhasabah kembali bahawa jika Allah SWT mengkehendaki, nescaya air hujan menjadi masin lagi pahit, tidak boleh diminum dan tidak boleh digunakan untuk pengairan tanaman. Namun ia tidak begitu. Hujan diturun penuh rahmat buat manusia sehingga mereka menikmatinya semahu-mahunya.

3. Namun setelah diberi kenikmatan air hujan yang tawar dan enak diminum daripada rahmat-Nya, mengapa manusia tidak mensyukurinya?

? Pengajaran

1. Kejadian air ini membuktikan Allah SWT menyayangi dan mengasihani hamba-hambaNya, bahkan rahmat-Nya turut dirasai golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT walaupun ramai yang tidak mensyukuri nikmat anugerah Allah bahkan ingkar kepadaNya. Rasululullah SAW mengajar kita bagaimana respon seorang hamba ketika menikmati air yang yang telah menyegarkan tekak kita daripada kekeringan. Sebagaimana Ibnu Abu Hatim mengatakan, bahawa Nabi SAW berdoa selepas minum air, :

اَلْحَمْدُ لِلهِ الَّذِيْ جَعَلَهُ عَذْبًا فُرَاتًا بِرَحْمَتِهِ وَلَمْ يَجْعَلْهُ مِلْحًا أُجَاجًا بِذُنُوْبِنَا

“Segala puji bagi Allah yang telah memberi kami minum air yang tawar lagi menyegarkan berkat rahmat-Nya, dan tidak menjadikannya masin lagi pahit kerana dosa-dosa kami.”

2. Dengan menghayati dan memperhatikan kejadian air yang selamat digunakan bagi keperluan seharian ini, menguatkan lagi kesyukuran dan keimanan kita kepada Allah SWT. Usahakan untuk mengkaji dan menggali ilmu Allah berkenaan hujan sebagaimana para saintis yang mengkaji jenis-jenis awan menemui keputusan yang amat mengejutkan berkenaan dengan formasi gumpalan awan yang mengandungi air. Apabila titisan air dan ais ini menjadi lebih berat sehingga gagal untuk ditampungnya akhirnya air itu akan gugur daripada gumpalan awan sebagai hujan, ais, salji dan lain-lain.

3. Suatu yang harus diingat bahawa pakar meteorologi hanya mengetahui maklumat terperinci pembentukan hujan, struktur dan fungsinya hanya di akhir-akhir ini dan melalui peralatan canggih seperti kapal terbang, satelit, komputer dan lain-lain. Ianya adalah bukti bahawa Allah telah memberikan kita cebisan maklumat yang tidak diketahui 1400 tahun dahulu. Subhanallah. Mudah-mudahan dengan merenungi penciptaan air hujan ini mengetuk hati-hati kita untuk menguatkan lagi keimanan dan ketundukan kita kepada Allah SWT.

4. Ketika hujan turun, sambutlah dengan jiwa ketauhidan dan berdoalah sebagaimana sunnah Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ صَيِّباً نَافِعاً

“Ya Allah turunkanlah pada kami hujan yang bermanfaat”. (Riwayat Bukhari)

? Rujukan: Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
25 Mei 2019 / 20 Ramadhan 1440