Home Berita PAS Sabah

Ziarah dakwah pedalaman tarik minat anak muda

528
SHARE

Oleh: Basith Samad
2 April 2021

KINABATANGAN: Rentetan daripada misi dakwah pedalaman siri pertama di Kg. Sangau yang lalu, keperihatinan untuk menggerakkan program ziarah dakwah ke kampung lain terus dilaksanakan .

Misi kali ini diteruskan lagi di Kampung Sungai Lokan bahagian pedalaman Kinabatangan peringkat kedua, semalam.

Tumpuan siri kedua ini memberi penekanan berkisar Nisfu Sya’ban menyambut tirai Ramadhan yang telah berlangsung di Masjid Al-Mubarak sebagai persediaan rohani kepada masyarakat sekitar sebelum kedatangan bulan puasa beberapa hari saja lagi.

Kehadiran yang menggalakkan dalam kalangan belia dan golongan veteran menjadikan sesi ziarah dakwah pada kali ini memfokuskan kepada beberapa perkara penting antaranya berkaitan pengimarahan masjid dan kepentingan solat berjemaah.

Menurut Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Azrin Razaly, masjid dan surau merupakan simbolik kepada kekuatan dan kesatuan umat Islam di sesuatu kawasan.

“Penyatuan umat Islam di kampung ini dan pembinaan kekuatan rohani masyarakat setempat dapat dikukuhkan dengan pengimarahan masjid serta solat berjemaah lima waktu di masjid,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan peri pentingnya mohon kepada Allah agar sentiasa diberikan petunjuk dan hidayah dalam menjalani kehidupan terutamanya ketika menjalani ibadah puasa nanti.

“Ayat 18 surah at-Taubah telah menjelaskan bagaimana untuk termasuk dalam golongan yang mendapat petunjuk dari Allah S.W.T iaitu hanya mereka yang menghidupkan masjid dengan mengimarahkannya yang layak menjadi dari kalangan golongan tersebut,” tambahnya lagi.

Wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS), Haji Jalpah Sani, yang turut hadir dalam program ini berkata tugas-tugas imam dan bilal di masjid surau kini perlukan nafas baru dalam kalangan anak muda.

“Harapan kita agar dapat melihat pelapis kepada jawatan penting ini di setiap masjid dan surau di Sabah, khususnya tempat kita daerah Kinabatangan dapat diisi oleh anak muda supaya masjid terus hidup walaupun setelah ketiadaan kami.”

“Atas sebab itu, kita akan cuba usahakan program sebegini dapat diteruskan bagi mendidik jiwa beliawan beliawanis dengan ilmu agama kerana kita khuatir ada anasir luar terlebih dahulu menerapkan pendidikan yang tidak sihat terhadap mereka,” jelasnya ketika merasmikan program ini.