Home Berita PAS Pahang

Ziarah cakna JMC DUN Pelangai

60
SHARE

Oleh : NUR ROY NABILA A.ROZI

BENTONG, 21 Feb – Satu pertemuan Mahabbah antara Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Bentong dan Jawatankuasa Muslimat PAS (JMC) DUN Pelangai Bentong telah berlangsung di Markaz PAS Kemasul di sini semalam.

Program ini bagi merapatkan hubungan DMPK dan empat JMC berkenaan iaitu Kemasul, Chemomoi, Sri Pelangai dan Kemahal.

Pertemuan mahabbah ini dimulai dengan bertaaruf antara saf pimpinan DMPK dan JMC cawangan, diikuti dengan penyampaian taujihat oleh Ketua DMPK Bentong Yusma Yusoff.

Dalam taujihatnya, Yusma menyeru agar muslimat terus istiqomah dalam perjuangan parti demi merialisasikan matlamat PAS Teraju Pahang.

Semoga pertemuan ini dapat membentuk satu gabungan pakatan muslimat yang mantap dan kuat dalam saf perjuangan menjadi pemimpin dan pendokong parti.

Tambahnya lagi ukhuwah dalam berjemaah juga mesti dijaga bagi mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan muslimat demi kelangsungan gerak kerja pada masa akan datang.

Tegasnya lagi, kehadiran usrah juga sangat penting bagi membina peribadi dan fikrah muslimat dan menjadi kelaziman manusia akan bermotivasi apabila sering diperingatkan sesama sendiri.

Dalam pada itu muslimat juga diingatkan supaya menjaga kebajikan ahli keluarga dengan mencarum di dalam Skim Kifalah Ahli PAS (SKIMPAS).

Menurutnya skim ini perlu disebar luaskan kepada ahli hingga ke akar umbi untuk perlindungan takaful dengan caruman yang berpatutan dan mampu milik.

Yusma juga mengharapkan agar muslimat mengambil peluang untuk memberi infaq kewangan bulanan secara sistematik melalui skim sumbangan yang dikenali sebagai Infaq Istiqamah.

Dana yang terkumpul dari tabung tersebut akan digunakan untuk menolong saudara seIslam yang memerlukan dari aspek keperluan harian dan dan sebagainya.

Program diakhiri dengan penyerahan sijil penghargaan program ziarah mahabbah tersebut kepada Ketua JMC dan menziarahi keluarga mantan Ketua Cawangan PAS Kemasul, Almarhum Shamsuddin Abdullah serta menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga almarhum.