Home Berita PAS Pahang

Pekerja pembersihan Pantai Sepat terima sumbangan

74
SHARE

Oleh : WAN MUHAMAD AZMI MAMAT

KUANTAN, 21 Feb : Tenaga dan bakti yang dicurahkan setiap hari oleh pekerja pembersihan sangat penting demi keselesaan kehidupan seharian masyarakat.

Jasa mereka ini perlulah dihargai kerana tanpa mereka sudah pasti masyarakat tidak dapat menikmati kawasan yang bersih dan selesa.

Lantaran itu Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Lumpur Ustaz Rosli Abdul Jabar telah menyantuni pekerja pembersihan di Pantai Sepat di sini semalam.

“Sebagai masyarakat, kita suka apabila kawasan pantai kita bersih dan terjaga. Jadi, hormatilah mereka yang bertugas untuk memastikan kawasan ini sentiasa bersih.

“Tugas mereka bukanlah mudah kerana ada kalanya terpaksa berhadapan dengan golongan yang sengaja membuang sampah di depan petugas pembersihan semasa sedang menyapu.

“Itu antara sikap tidak wajar segelintir ahli masyarakat kerana tidak menggunakan tong sampah, sebaliknya membuangnya sesuka hati,” katanya lagi.

Menurut Rosli lagi, pertemuan ini bukanlah kali pertama diadakan kerana sebelum ini beliau telah berjumpa dan makan bersama-sama dengan mereka di pantai ini.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor turut hadir berkata, mereka adalah wira-wira yang tidak didendangkan, menjalankan amanah untuk memastikan pantai tersebut bersih, indah sebagai tempat kunjungan terutama di hujung minggu.

Program anjuran PAS kawasan Kuantan kali ini memberi sumbangan barangan dapur seperti beras, tepung, gula dan keperluan harian yang lain kepada 28 orang pekerja pembersihan bersempena menyambut bulan Ramadhan.

Salah seorang pekerja pembersihan Nor Aziah Nanwi merasa terharu dan berterima kasih kepada PAS kawasan Kuantan kerana menyantuni dan memberi sumbangan kepada mereka.

Turut hadir adalah Naib Yang Dipertua PAS kawasan Kuantan Mohamad Hafizal Mohamed Shah dan Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Kuantan Ustazah Rosmani Mustafa.