Home Berita PAS Pahang

Menekuni ilmu ibadah solat dalam cuti sekolah

112
SHARE

Oleh : ZAITON ABDUL HALIM

PEKAN, 21 Feb – Kem Smart Solat telah berjaya dilaksanakan di Madrasah Al-Hijrah Kampung Seri Damai dekat sini kelmarin.

Program ini bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 6.00 petang anjuran PAS Cawangan Seri Damai dan Madrasah Al-Hijrah telah disertai seramai 45 orang peserta remaja.

Para peserta diberi pendedahan secara menyeluruh berkenaan ibadah solat oleh lapan orang fasilitator yang turut dibantu oleh tujuh orang Ahli Jawatankuasa program.

Program seharian ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Pekan menzahirkan penghargaannya kepada para peserta yang sudi menyertai program dalam cuti persekolahan ini.

Menurut Rafiq Khan, Rukun Islam kedua ini harus diberi penekanan daripada kecil memandangkan ianya adalah ibadah wajib yang perlu dilaksanakan secara berterusan mengikut tertib dan menepati waktunya.

“Terputus segala amalan anak adam sekiranya mati melainkan sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan doa anak yang soleh.

” Bagi memastikan anak kita itu adalah anak yang soleh ialah dengan pastikan solat yang dilakukan oleh mereka sempurna daripada kecil lagi,” tambah beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa solat yang dilakukan dengan berilmu dan khusyuk dapat mengelakkan daripada melakukan pekara mungkar dan membezakan di antara Islam dan bukan Islam.

Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada ibu bapa dan mereka meminta agar program baik seperti ini diteruskan pada masa akan datang.