Home Berita PAS Perak

YWM boleh realisasikan pembangunan tanah wakaf; vaksin sinovac diiktiraf Arab Saudi

42
SHARE
May be an image of 4 people, people sitting and people standingOleh: Abu Bakar
BAGAN SERAI: Kerjasama di antara agensi-agensi agama termasuk Yayasan Waqaf Malaysia merupakan salah satu elemen penting dalam merealisasikan rancangan pembangunan tanah wakaf.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Senator Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebaik selesai menyampaikan sumbangan musaadah 3.0 di surau Al-Faizin, Taman Serai Permai, Bagan Serai semalam.
“Kami akan melihat dari sudut wakaf tanah tersebut, kerana mungkin apabila tanah wakaf ni, mungkin kita boleh kolaborasi dengan agensi-agensi agama termasuk agensi di bawah saya Yayasan Waqaf Malaysia.
“Untuk kita tengok lebih dekat lagi dan perancangan perancangannya kerana kita juga mempunyai hubungan yang akrab dengan semua pihak termasuklah Majlis Agama Islam negeri-negeri di seluruh Malaysia”, ujarnya.
Beliau yang tiba pada tengah hari berkenan melawat tapak tanah yang dibeli oleh ADUN Gunung Semanggol Tuan Haji Razman Zakaria yang juga merupakan Exco kerajaan negeri bagi diwakafkan kepada Asnaf yang tidak mempunyai tanah sebagai tapak membina rumah di Kampung Alor Singa yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Bagan Serai.
Dalam sidang media yang sama beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana turut mengiktiraf penerima vaksin sinovac untuk memasuki negara tersebut.
“Dan kita mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih ‘jazakumullahu khairal jaza’ kepada khadimul haramain dan kerajaan Arab Saudi yang telah memberi satu ruang yang lebih besar lagi kepada mereka yang mengambil vaksin yang tidak terbatas hanya kepada Pfizer dan astrazeneca.
Tapi adanya sinovac dan lain-lain sudah tentu akan memberikan kepada kita peluang dan ruang sebagaimana rakyat Malaysia divaksinkan”, ujarnya lanjut.
Program musaadah 3.0 merupakan program sumbangan kotak makanan dari pihak Yayasan dakwah Islam Malaysia (YADIM) yang disampaikan di seluruh negara kepada golongan asnaf dan mereka yang terkesan sempena pelaksanaan perintah kawalan pergerakan PKP.
Sejumlah 100 kotak makanan diserahkan dalam program tersebut.
Terdahulu, pada sebelah pagi beliau turut menyampaikan sumbangan yang sama di Ipoh menjadikan lebih 200 kotak makanan dan beg sekolah disumbangkan di kedua-dua program tersebut.
Turut hadir, YDP YADIM Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Pegawai Daerah Kerian Mohd Sabli Bakri, YDP MDK Helmi Yusof dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian DSP Mohd Azizul Mohd Khairi.