Home Artikel PAS Sabah

YDP PAS Putatan Santuni Asnaf

240
SHARE

Janira Ain Abu Bakar
10 Ogos 2020

PUTATAN – Yang Dipertua PAS Putatan, Ustaz Akmal Othman meluangkan masa menziarahi keluarga asnaf, Asmah Gari, di Kg. Meruntum Fasa 1, di sini petang semalam sejurus mendapat makluman mengenai musibah yang berlaku ke atas keluarga beliau.

Kejadian bahagian dapur rumah tiba-tiba runtuh berlaku pada pagi Sabtu yang lepas, ketika Asmah serta anak perempuannya sedang menyediakan sarapan. Oleh kerana rumah mereka terletak di perkampungan atas air, Asmah bersama dua anaknya telah terhumban ke dalam air dan mengalami luka ringan.

Salah seorang daripada anak Asmah adalah seorang OKU, turut mengalami lecur ringan di kaki apabila air panas yang sedang dimasak di dapur tertumpah semasa kejadian.

Dalam lawatan tersebut, Skuad Prihatin PAS Putatan telah membuat tinjauan bagi menaksir kerosakan yang berlaku. Sebahagian pembaikan telah dimulakan oleh anak dan saudara mangsa, hasil daripada sumbangan keluarga terdekat.

Selain sumbangan wang tunai, Ustaz Akmal sempat menitipkan kata-kata semangat buat keluarga yang sedang ditimpa musibah itu.

Turut hadir, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Putatan, Wawa Athiyah Aziz, dan beberapa orang ahli jawatankuasa PAS Putatan serta diiringi oleh ahli Skuad Prihatin.

PAS Putatan akan terus komited meneruskan gerak kerja kebajikan dan dakwah untuk masyarakat di sekitar Putatan, selari dengan aspirasi “Putatan Sejahtera” di bawah gabungan Muafakat Nasional.