Home Berita PAS Johor

YDP PAS Muar calon Perikatan Nasional kerusi Dun N15 Maharani

1287
SHARE

Oleh : SHARIFAH AJIL

MUAR, 24 Feb : Yang Dipertua PAS Kawasan Muar, Abd Aziz Talib telah dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) mewakili PAS yang akan bertanding di Dun N15 Maharani.

Ini berdasarkan pengumuman calon-calon yang akan bertanding mewakili Perikatan Nasional seperti yang telah diumumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhiyiddin Yassin dalam satu mesyuarat khas di Pulai Spring Resort, Johor Bahru, hari ini.

Menurut pengumuman itu, Perikatan Nasional telah meletakkan calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Terdahulu, Setiausaha PN Johor, Datuk Dr Sahrudin Jamal berkata, Perikatan Nasional meletakkan anak tempatan sebagai keutamaan untuk menjadi calon dan benar-benar boleh berkhidmat kepada masyarakat.

Abd Aziz, 64 diamanahkan untuk bertanding di kerusi N15 Maharani yang sebelum ini pada pilihan raya yang lalu, calon PAS ialah Dr Mohamad Taslim.

Dr Mohamad sebelum ini telah menyandang kerusi ini selama dua penggal iaitu dari tahun 2008 hingga 2018 tetapi tewas kepada calon Pakatan Harapan, Nor Hayati Bachok pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14.

Ketika itu, Dr Mohamad memperolehi 3,869 undi, manakala parti lawan dari Barisan Nasional (BN), Dato’ Ashari Md Sarip memperolehi 6,731 dan Pakatan Harapan yang memenangi kerusi N15 Maharani melalui calon Nor Hayati Bachok mendapat 12,405 undi dengan majoriti undi 5,674.

Abd Aziz dijangka akan bertembung dengan penyandang kerusi, Nor Hayati Bachok dari Parti Amanah Negara (PAN) yang telah dicalonkan semula oleh Pakatan Harapan untuk mempertahankan Dun N15 Maharani. Turut bertanding ialah calon dari Barisan Nasional, Farra Shamsudin.

PRN Johor diadakan setelah berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni Mohamad setelah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dun pada 22 Januari lepas.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac dan tarikh keluar mengundi pada 12 Mac.