Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

YB Kuala Nerus Tuntut FMT Minta Maaf Silap Lapor Isu Elaun Madu

1164
SHARE

Kuala Nerus ,22hb Julai -Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semalam menyelar tindakan Free Malaysia Today yang menyalahertikan cadangan beliau mengenai elaun madu.

Beliau menyifatkan laporan berita mengenai soalan tambahan yang dikemukakan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); disiarkan oleh portal Free Malaysia Today (FMT) dengan tajuk “Wan Azizah tegur ahli Parlimen PAS cadang elaun madu isteri pertama” adalah kurang tepat dan terpesong.

“Tidak ada dalam soalan saya sebarang cadangan untuk diberikan elaun kepada madu-madu isteri tetapi cadangannya ialah agar diberikan elaun semasa kepada institusi isteri.

“Justeru itu, saya menuntut FMT membetulkan laporan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka kerana ia menimbulkan salah faham pembaca dan masyarakat dalam media sosial.

“Begitu juga ulasan akhir oleh Menteri KPWKM yang juga Timbalan Perdana Menteri (TPM), “kalau mampu kahwin 1,2,3 mampulah beri nafkah pada semua” jika dianggap sebagai “teguran” kepada saya tentang isu “elaun madu-madu”, maka ia hujah dan teguran yang sangat tersasar kerana yang saya bangkitkan bukannya isu suami yang berkahwin lebih atau isu persoalan nafkah yang sememangnya menjadi tanggungjawab wajib para suami,” jelas beliau.

Beliau dalam masa sama mempersoalkan adakah Kerajaan sendiri bersedia memberikan elaun kepada para isteri sebagai suatu penghargaan kepada para isteri selain pembelaan menerusi caruman KWSP yang akan memberi manfaat pada usia emas nanti.

Tambahnya, beliau menyatakan bahawa objektif bagi membantu golongan suri rumah atau isteri adalah tujuan yang sangat baik dan menyatakan sokongan terhadap caruman KWSP untuk suri rumah itu.

Memetik kenyataan sama, Dr Khairuddin menegaskan beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan.

“Saya menjelaskan pandangan saya itu dengan mengemukakan tiga (3) sebab. Pertama, pendekatan itu boleh dikatakan hampir tidak memberi sebarang nilai tambah kepada pendapatan isi rumah.

“Kedua, para isteri tidak dapat memanfaatkannya melainkan setelah mencapai umur tertentu dan ada golongan suri rumah yang akan tercicir daripada mendapat manfaat KWSP ini seperti isteri kedua dan ketiga atau diceraikan dan isteri yang suaminya tidak mempunyai pekerjaan dan caruman KWSP,” katanya.

Mengakhiri kenyataan, beliau berkata antara kelemahan caruman KWSP untuk isteri itu bagi membela golongan suri rumah dan bagi membantu golongan isteri ini secara semasa (atau sekarang, bukan masa hadapan) yang lebih patut diutamakan.

Justeru ulasnya, beliau mencadangkan supaya dana yang mahu diperuntukkan untuk tujuan ini adalah lebih baik digunakan untuk memberikan bantuan tunai secara terus kepada para suri rumah, antaranya menerusi pemberian elaun bulanan kepada isteri-isteri sekaligus sebagai penghargaan kepada golongan itu.