Home Berita PAS Kedah

Yayasan Amal sumbang RM200 ribu baikpulih dewan kompleks PAS Kedah

151
SHARE

 

OLEH: ROZAIDI TAIB

ALOR SETAR, 21 JUL – Yayasan Amal Cawangan Kedah tampil menyerahkan sumbangan sebanyak RM200 ribu untuk kerja-kerja baik pulih Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor dalam majlis makan malam dana dewan tersebut yang diadakan di perkarangan Kompleks Pentadbiran PAS Kedah, di sini, malam tadi.

Pengarah program, Ustaz Musoddak Ahmad dalam ucapannya menghargai sokongan pelbagai pihak termasuk daripada PAS Kawasan-kawasan dan NGO yang memberi sumbangan bagi menyiapkan dewan tersebut menjelang Muktamar Tahunan PAS Pusat yang akan diadakan di sini pada bulan september akan datang.

“Pelancaran derma baik pulih dewan ini telah dilancar oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Nik Mohd Amar Abdullah pada April lalu semasa program Munaqasyah Ucapan Presiden,

“Kita ada 1,200 cawangan PAS seluruh negeri Kedah dan kita anggap hanya 1,000 cawangan yang memberi sumbangan sebanyak RM600 maka kita dapat RM600 ribu dah, ini kekuatan yang kita ada.”katanya.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Kedah turut mengumumkan kos keseluruhan yang diperlukan adalah sebanyak RM 940 ribu bagi menyiapkan sebuah dewan yang lengkap dengan sistem audio video, pencahayaan dan pendingin hawa yang berfungsi dengan baik termasuk dekorasi luar yang akan menaikkan imej bangunan PAS.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kedah, YB Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi Pembangunan Kompleks, YB Dato’ Brigadier Jeneral (B) Najmi Ahmad serta pimpinan PAS Negeri, Kawasan dan NGO.