Home Berita PAS Wilayah

YADIM Peduli Musa’adah: Bantu masyarakat berbilang kaum

426
SHARE

Oleh: Ramizah Rahmad 18 Februari 2021

BATU : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) meneruskan lagi misi ‘YADIM Peduli Musa’adah 2.0’ dengan membantu masyarakat Cina Thiong Hwa yang memerlukan di Parlimen Batu baru-baru ini.

Majlis serahan bantuan sempena Tahun Baru Cina itu telah diadakan dalam keadaan ringkas dan mematuhi garis piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib di Dewan Komuniti PPR Batu.

Hadir bagi menyampaikan sumbangan adalah Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Syaary serta diiringi oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysian (YADIM), Ustaz Nasrudin Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arif Tuan Sof.

Datuk Ahmad Marzuk turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina dan berharap agar keharmonian serta perpaduan dapat dikekalkan dalam negara Malaysia yang bermasyarakat majmuk.

“Usaha seperti ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahu memupuk keharmonian antara kaum dan masyarakat harus sedar bahawa Islam itu juga adalah agama yang mempunyai sifat toleransi antara kaum,” tambah beliau.

Sebanyak 50 pek sumbangan yang mengandungi makanan asas, limau mandarin dan sedikit wang telah berjaya diagihkan dan diharapkan dapat mewarnai Tahun Baru Cina tahun ini walaupun disambut dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Turut sama dalam majlis tersebut adalah Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah Dan Wanita YADIM, Ustaz Azhar Yahya dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 3, Haji Hishamuddin Ghazali.

Program ini adalah di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang bertujuan untuk membantu semua yang terkesan akibat pandemik Covid-19 tanpa mengira agama mahupun bangsa.