1. Muslimat PAS menyokong dan memuji usaha baik program World Quran Hour yang dijadual akan berlangsung pada jam 11.00 pagi hari ini, 7 Jun 2018 di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang merupakan lokasi perdana WQH.
2. World Quran Hour yang telah dimulakan pada tahun 2016 merupakan sebuah program santai mengumpulkan masyarakat untuk sama-sama membaca Al-Quran sambil mempelajari (mentadabbur) beberapa ayat yang dibaca agar mendapat pengajaran sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud;
“Itulah Kitab yang tiada keraguan di dalamnya, menjadi petunjuk baga orang-orang yang bertaqwa” [Q:S. Al-Baqarah : 2]
3. Pada tahun ini, surah pilihan ialah Surah Al-Hujuraat yang di dalamnya mengandungi beberapa panduan tentang adab dan cara terbaik untuk diamalkan antara sesama manusia.
4. Walaupun ianya diadakan sekali setahun tetapi, harus diingat bahawa Al-Quran itu mesti dibaca oleh kita setiap hari. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, kita lebih-lebih lagi digalakkan untuk membaca dan menghayati ayat-ayat Allah S.W.T yang terkandung pengajaran buat kehidupan seharian kita.
5. Muslimat PAS sangat berharap agar masyarakat tidak sesekali memandang ringan kepentingan mempelajari Al-Quran apa lagi membaca dan memahaminya. Usaha yang bersungguh perlu kepada setiap individu untuk mendekati mukjizat agung yang diturunkan kepada junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w.
6. Semoga usaha yang baik ini akan terus dijalankan sebagai salah satu jalan mendekatkan masyarakat dengan Al-Quran, dan dalam masa yang sama mudah-mudahan Al-Quran yang dibaca dan difahami itu akan menjadi hujah kita kelak.
Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
22 Ramadan 1439 bersamaan 7 Jun 2018