Oleh : Wirdawati Nazwir
Alhamdulillah.
Assalamualaikum.
IBU bapa dah mula risau bila anak-anak bujang terutamanya lelaki dah mula berfikir nak berharap dan bergantung hidup daripada aset harta dan pendapatan ibu bapa.
Mana tidaknya…
Mak ayah pandai berjimat. Yang bekerja kerajaan, ada pencen. Yang bekerja swasta, ada PERKESO. Yang bekerja sendiri dengan menjaja tepi jalan, berjalan runcit, bercucuk tanam dan berjualan, mereka pandai berdikit-berdikit mengumpul harta meskipun anak ramai.
Sanggup berjalan kaki dan menaiki basikal dan beca bagi tujuan mencari harta untuk kesenangan anak cucu dan cicit. Akhirnya mak ayah dapat juga membeli tanah dan membangunkan rumah sendiri yang lebih selesa dan tidak perlu lagi tinggal di tanah setinggan atau menyewa rumah.
Malangnya bila anak-anak semakin dewasa, ada di kalangan mereka yang semasa zaman kanak-kanaknya tidak terbiasa hidup berjihad bersama-sama ibu bapa membanting tulang mencari rezeki, sudah mula tidak kisah jika cuma ‘mengangakan mulutnya luas-luas’ meminta suapan daripada ibu bapanya yang sudah mula ‘mengendur uratnya dan menipis tulangnya’.
Siang malam mulut si anak meratib, “Rumah sewa mak ayah aku ada sebuah dua. Setiap bulan, abang kakak aku beri duit kat mak ayah. Setiap bulan, ayah mak aku dapat pencen. Alah… Aku tak cari duit pun, aku masih boleh minta dengan mak ayah aku. Kalau mereka mati pun, harta mereka tu cukup untuk aku hidup. Apa susah!”
Ibu bapa, anak-anak…
Pokok pangkal isu ialah bekerja mencari rezeki, menggunakan kekuatan tubuh dan pemikiran untuk membangunkan kehidupan diri, keluarga dan masyarakat. Meskipun kaya raya dan mewah, kita yang berfikiran waras, sihat tubuh dan kuat mental, pasti tidak mahu menumpang harta orang lain, lebih-lebih lagi aset harta ibu bapa kerana diri kita bermaruah.
Kita mahu menjadi manusia yang sabar, cekal, berwawasan jauh, dan kuat mental bagi membina tamadun diri. Kita mahu membina memorial kewujudan kita sendiri sebagaimana Saidina Othman Bin Affan, Khalifah ke-3 daripada rantaian Khulafa’ Ar-Rasyidin membina memorial wakafnya untuk umat Islam dan ia kekal ada hingga kini. Nama beliau sangat terkenal sebagai sahabat yang sangat dermawan.
Justeru itu wahai anak-anak bujang.
Bersabarlah dengan cabaran dalam pekerjaanmu. Lakukanlah dengan semangat dan kesungguhan. Jika tidak mahu bekerja di bawah arahan orang lain, maka bercita-citalah untuk ‘berdiri atas kaki sendiri’ dengan pekerjaan yang baik dan berpendapatan yang halal.
Jika tiada pekerjaan yang sesuai dengan kehendak dan jiwamu, maka ajarlah jiwamu untuk menyesuaikan dirimu dengan ruang pekerjaan yang ada di hadapan matamu. Meskipun mungkin kamu terpaksa bercucuk tanam, menunggu hasil dan menjualnya sendiri di pasar, kedai atau berjaja dari rumah ke rumah. Itu jauh lebih baik daripada harus menadah tangan untuk meminta-minta.
Lakukanlah Solat Duha, Hajat dan Tahajjud memohon kekuatan dan petunjuk daripada Allah agar beroleh rezeki yang melimpah ruah daripada hasil kerja tanganmu sendiri.
Wallahua’lam bissawab. ? ? ? ?
Penulis adalah AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka
#SijilAkademikCumaBukti
#KamuMudahMenerimaPembelajaran
#BukanSyaratUntukMakanGajiSemata
#BukaMataBinalahPotensiDiriBerwawasan