Home Berita PAS Pahang

Wanita kunci membina keluarga dan pembangunan sosial

64
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 8 Mac – Peranan wanita dalam membina keluarga dan masyarakat dianggap penting dalam keharmonian dan perkembangan sosial.

Wanita sering memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak, menyediakan sokongan emosional, dan menyumbang kepada kestabilan keluarga, kata Penolong Pengurus Pertubuhan Kebajikan Baitul Husna Zuraida Ismail.

“Untuk membina keluarga dalam masyarakat ianya bermula daripada wanita itu sendiri, untuk mencorak dan menerapkan nilai-nilai agama kearah membina peribadi insan kamil,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan dari Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS kawasan Indera Mahkota (DMPIM) Ustazah Zainah Mohamad di rumah kebajikan Beserah di sini hari ini sempena Hari Wanita Sedunia.

Bersempena dengan sambutan hari tersebut DMPIM bersama Pertubuhan Cakna Hal Ehwal Wanita (Helwa Care) Kuantan telah mengunjungi kediaman Pertubuhan Kebajikan Baitul Husna dan Pusat Jagaan Cahaya di lokasi yang sama.

Tema sambutan Hari Wanita di Malaysia pada tahun ini adalah Wanita Dijulang, Negara Gemilang memberi makna peranan wanita dalam membentuk masa depan anak yatim bukan hanya memberikan kasih sayang, tetapi juga berperanan sebagai teladan, memberi bimbingan, dan memupuk nilai-nilai positif, kata Zainab dalam kunjungan tersebut.

Tambah beliau lagi, pengasuh wanita memberi sumbangan berharga untuk memastikan generasi akan datang berjaya dalam masyarakat dan dapat menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan negara.

Kedua-dua rumah kebajikan tersebut telah menerima kek, kuntuman bunga dan kurma kepada pekerja-pekerja wanita yang berkhidmat di situ.

Turut hadir adalah Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan Beserah Tengah dan Beserah Selatan.