Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Wajib Selamatkan Negara Dari Hagemoni DAP

1976
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

23 JUMADIL AKHIRAH 1441H  l  17 FEBRUARI 2020

WAJIB SELAMATKAN NEGARA DARI HAGEMONI DAP

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru kepada semua umat Islam dan warganegara Malaysia untuk bangkit melakukan sesuatu tindakan bagi menyelamatkan negara dari terus membiarkan DAP mengembangkan perjuangan ideologi mereka yang bersifat cauvinis, anti nasional serta anti Islam atas alasan negara demokratik.

2. Isu demi isu yang melanda sama ada yang menyentuh soal institusi dan sensitiviti agama mahupun ketelusan yang terpilih terhadap kes-kes yang dibicarakan serta kelembapan ekonomi dapat kita lihat ia jauh lebih teruk pasca PRU 14 ekoran DAP yang berada dalam kerajaan PH pada hari ini. Inilah padah apabila dasar pentadbiran atau pemerintahan sesebuah negara tidak mengambil Islam sepenuhnya bagi menyelesaikan kemelut sedia ada bahkan semakin bertambah kerosakan dan kepincangannya apabila menjadikan ideologi selain Islam sebagai aqidah pentadbiran kerajaan.

Firman Allah SWT :

فَلَا وَرَبِّكَ لَا یُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ یُحَكِّمُوكَ فِیمَا شَجَرَ بَیۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا یَجِدُوا۟ فِیۤ أَنفُسِهِمۡ حَرَجࣰا مِّمَّا قَضَیۡتَ وَیُسَلِّمُوا۟ تَسۡلِیمࣰا

Maksudnya :
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” – [Surah An-Nisa’ 65]

3. Pendirian PAS terhadap bahaya hagemoni DAP ini sangat jelas sebelum PRU 14 lagi. Ini kerana, DAP terus menerus menentang secara tegar ketika isu RUU 355 yang dibawa oleh Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS ke dalam Sidang Dewan Rakyat. Malah Pemuda DAP di Sarawak juga pernah membangkitkan suara mempertikaikan kemasukan NGO-NGO yang datang ke pedalaman Sarawak bagi menjalankan kerja-kerja kebajikan dan dakwah. Ini jelas sifat anti Islam mereka yang mana tidak menghormati kedudukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan serta mencampuri urusan umat Islam.

Firman Allah SWT :
إِنَّمَا یَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِینَ قَـٰتَلُوكُمۡ فِی ٱلدِّینِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِیَـٰرِكُمۡ وَظَـٰهَرُوا۟ عَلَىٰۤ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن یَتَوَلَّهُمۡ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” – [Surah Al-Mumtahana 9]

4. DAP juga bersifat anti nasional apabila polemik mengenai silibus khat Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina khususnya meletup dengan penentangan dari pihak Dong Jiao Zong yang meleret sehingga memakan tempoh masa yang berpanjangan. Silibus yang hanya memuatkan 3 muka surat sahaja dapat dilihat polemik-polemik negatif yang melampaui kesan darinya seperti kritikan terhadap Permaisuri Agong dalam media sosial, perletakan jawatan oleh Dr Mazlee Malik yang dilihat ada kaitan dalam isu ini, serta kebiadapan tindakan SJKC yang diarah untuk menggantungkan banner bantahan silibus khat Jawi. Semua ini dapat diketahui bagaimana hubungan Dong Jiao Zong dengan pemimpin DAP di mana tiada kenyataan dari DAP yang “menegur” atau “tidak bersetuju” terhadap Dong Jiao Zong.

5. Perjuangan ideologi DAP juga kelihatan mesra dengan pengaruh ideologi komunis yang mencabuli maruah kemerdekaan negara Malaysia. Bermula dengan polemik sebuah komik bagi edaran ke sekolah-sekolah walhal isi kandungan komik tersebut jelas mempromosikan pengaruh komunis dengan mengangkat imej parti komunis sebagai wira dalam kemerdekaan. Ini jelas bertentangan dengan sejarah Malaysia dan merosakkan minda para pelajar. Pemimpin DAP menunjukkan bantahan apabila dikeluarkan arahan pengharaman edaran komik tersebut ke sekolah-sekolah adalah jelas kemesraan mereka terhadap pengaruh komunis.

6. Begitu juga beberapa pimpinan DAP yang secara bangga mengakui keturunan dari datuk moyang mereka yang merupakan ahlu Parti Komunis Malaya (PKM) dengan tanpa segan silu menghadiri majlis memperingati ulang tahun genjatan senjata PKM yang dianjurkan di Kajang. Persoalannya, bukankah PKM ini diharamkan dari sudut perundangan malah serangan gerilla yang dilakukan oleh mereka atas ketidak puasan hati mengakibatkan kezaliman dan pembunuhan rakyat khususya bangsa Melayu. Jelas agenda komunis ini mesra dengan pimpinan DAP dan cuba diketengahkan komunis ini dengan imej yang direka “imej baik” padahal ia bertentangan dengan fakta sejarah Malaysia selama ini.

7. Begitu juga yang terbaru apabila pemimpin utama DAP iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang terus menerus menabur hasutan jahat bagi meniupkan api perkauman apabila menyifatkan kerjasama PAS UMNO jika mentadbir negara akan membawa kepada keadaan yang huru hara. Ucapan jahat LGE bertujuan mewujudkan Islam Fobia khusus kalangan penganut bukan Islam agar membenci Islam. Sedangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang majoriti rakyatnya adalah penganut Islam, institusi Beraja sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri yang diperintah dijamin menerusi Perlembagaan serta agama Islam sendiri termaktub sebagai agama Persekutuan.

8. Selain itu, kita dapati Malaysia di bawah pentadbiran PH yang “dikuasai” oleh suara sumbang DAP serta penyokongnya tidak membawa perubahan yang baik kepada negara Malaysia. Ini jelas apabila hutang negara semakin bertambah dalam tempoh 1 tahun memerintah sehingga mencecah 1 billion, malah berlakunya nilai kejatuhan wang ringgit. Semua ini menjadi hujah bahawa hagemoni DAP ke atas negara Malaysia hanyalah memberikan ancaman bahaya serta tidak membawa sebarang perubahan kebaikan sekalipun.

9. Terlalu banyak jika ingin dihujahkan di sini, cukup sekadar yang dinyatakan secara ringkas apa yang berlaku jelas terpampang di hadapan mata semua rakyat. DUPP sekali lagi menegaskan bahawa menjadi kewajipan kita untuk menyelamatkan negara Malaysia dari hagemoni DAP agar keadaan tidak semakin bertambah parah.

Firman Allah SWT :

یُرِیدُونَ لِیُطۡفِـُٔوا۟ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَ ٰ⁠هِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَـٰفِرُونَ

Maksudnya :
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” – [Surah As-Saf 8]

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)