Home Minda Presiden

 Wajib Mempertahankan Perpaduan Kita

1270
SHARE


Minda Presiden PAS

 WAJIB MEMPERTAHANKAN PERPADUAN KITA


Firman Allah:

﴿وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا  وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا  كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ١٠٣﴾ [آل عمران: 103]

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hati kamu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Surah Ali-Imran: 103)

Inilah acuan Allah memberi hidayah dengan cara mewujudkan perpaduan umat yang sebenar dan berpijak di alam kenyataan fitrah manusia. Perpaduan ini dilaksanakan mengikut langkah Sunnah Rasulullah SAW yang menyatukan umat pada zaman awal Islam di kalangan bangsa arab paling ganas di zaman jahiliah.

Bermula dengan kalangan Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj, serta kumpulan kecil  yang menganut Islam, kemudian diikuti oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem daripada penganut Yahudi bukan Islam yang paling fanatik agama dan kebangsaannya.

Akhirnya, sekeras-keras batu dapat dilembutkan dengan kuasa Allah dan petunjuk-Nya. Firman Allah:

﴿ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُمْ مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً  وَإِنَّ مِنَ الْحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنْهُ الْأَنْهَارُ  وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُ الْمَاءُ  وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ  وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ٧٤﴾ [البقرة: 74]

“Kemudian setelah itu hati  kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-sekali tidak lengah daripada apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah: 74)

Petunjuk al-Quran adalah mukjizat ilmu yang berkekalan di sepanjang zaman dalam semua situasi dan realiti, walaupun berbeza dan berubah mengikut tabii alam semesta.

Adapun pendekatan perpaduan yang lain terbukti gagal di separuh perjalanannya sahaja, kerana  dicipta mengikut  teori ahli falsafah atau ilmuwan manusia barat dan timur yang tetap bersifat makhluk yang ada kelemahan. Malangnya inilah yang masih  menjadi rujukan banyak penulisan dan kenyataan lisan, dengan berbagai jenama terkini seperti penjajaran, konsensus dan lain lain.

Acuan Islam yang berteraskan iman atau aqidah bagi penganut Islam dan konsep adil untuk semua manusia termasuk bukan Islam adalah roh yang menyuburkan perpaduan ini.

Inilah konsep yang kami realisasikan dalam konteks Malaysia bermasyarakat majmuk, bersama konsep Islam Agama Rasmi Persekutuan yang telah wujud dalam Perlembagaan dan konsep hak kebebasan beragama kepada berbagai anutan yang wujud dalam masyarakat majmuk.

Acuan Islam ini pernah berjaya dilaksanakan dalam negara besar beratus kali ganda daripada Malaysia selama lebih daripada tiga belas abad dalam sejarah keemasannya, di mana kejatuhannya apabila meninggalkan acuan Islam. Berbeza dengan kegagalan teori ciptaan manusia kerana kelemahannya yang nyata tidak menyempurnakan ciri-ciri fitrah manusia.

Kejayaan acuan Islam adalah kerana kesempurnaannya yang diciptakan oleh Allah Tuhan Pencipta alam dan manusia. Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana dan Maha Suci daripada segala kekurangan. Sehingga kini tidak ada yang mampu menyahut cabaran Allah yang berfirman:

﴿وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ٢٣ فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا وَلَنْ تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ  أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ٢٤﴾ [البقرة: 23-24]

“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (sahaja) yang sepertinya (al-Quran itu) dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23) Maka jika kamu tidak dapat membuat(nya) dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu daripada neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir. (24)” (Surah al-Baqarah: 23-24)

Pendekatan kita di Malaysia, tempat bumi Allah yang kita berpijak mengikut petunjuk al-Quran dalam aspek perpaduan umat ialah menyatukan umat Islam dengan penubuhan Muafakat Nasional yang diasaskan pada awalnya oleh PAS dan UMNO dan terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama termasuklah kepada BERSATU yang dijemput selepas itu.

Kemudian diikuti dengan penubuhan Perikatan Nasional yang menggabungkan semua parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional, berasaskan piagam yang dimeteraikan secara persefahaman dahulu sebelum diperkemaskan secara berperingkat, berasaskan konsep Islam Agama Rasmi Persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

Maka kita menolak sebarang usaha untuk membentuk pakatan baharu dengan berbagai jenama yang dicadangkan. Dengan tegas dinyatakan bahawa apabila kita baru sahaja menubuhkan MN dan PN, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur. Maka cadangan lain adalah tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan.

Inilah acuan Islam yang ingin dikembalikan semula setelah dilupakan. Jangan jadi Melayu yang mudah lupa kerana meninggalkan Islam. Jadilah Melayu Islam yang sempurna dengan aqidah, syariat, akhlak dan integriti, bersama kaum dan penganut berbagai agama berkonsepkan adil kepada semua dalam masyarakat majmuk.

Acuan perpaduan inilah yang boleh menegakkan umat yang selamat di dunia dan akhirat. Maka adalah haram kita memilih acuan akal manusia yang sempit sekadar menyelamatkan diri masing-masing, puak masing-masing dan kedudukan masing-masing, bukannya berwadahkan umat yang besar dan wawasan yang jauh daripada dunia sehingga akhirat.

Perpaduan ini adalah fardu kifayah kewajipan secara umum dan menjadi fardu ‘ain kepada pemimpin yang bertanggungjawab. Ingatkah firman Allah terhadap mereka yang meninggalkan petunjuk Allah:

﴿وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ  وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ١٠٥﴾ [آل عمران: 105]

“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat” (Surah al-Imran: 105)

Justeru iltizam kami adalah untuk memperkukuhkan perpaduan dan persaudaraan sesama kita, serta memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional yang kita bina secara bersama.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Jamadil Ula 1442 / 2 Januari 2021